TOKYO, 30 OKT – Sony daripada Jepun berkata hari ini keuntungan bersih separuh tahunnya merosot hampir 15 peratus tetapi ia mempertingkat ramalan tahunannya mengenai pertumbuhan kukuh dalam sektor sensor-imej dan muzik.
Pengeluar PlayStation itu berkata keuntungan merosot 14.9 peratus kepada 340 bilion yen untuk suku April hingga September, dan meramalkan keuntungan bersih tahunan berjumlah 540 bilion yen, berbanding dengan ramalan 500 bilion yen sebelum ini.
Syarikat berkata ia melihat jualan meningkat dalam sektor sensor-imej, disebabkan pertumbuhan dalam permintaan telefon bimbit.
“Jualan sensor imej masih kukuh.
Permintaan untuk sensor imej dijangka berkembang seterusnya tatkala telefon pintar yang dilengkapi dengan kanta berbagai-bagai semakin popular sekarang,” beritahu Hideki Yasuda, penganalisis di Institut Penyelidikan Ace di Tokyo, kepada AFP sebelum keputusan diumumkan.
Akhbar perniagaan Nikkei melaporkan hari ini bahawa Sony merancang membina sebuah kilang sensor imej baharu di selatan wilayah Nagasaki.
Sony buat masa sekarang mengendali empat kilang sensor imej di Jepun dan menimbang untuk menambah kapasiti pengeluaran pada Mac 2021.
“Kami sedang menimbang pelan untuk membina sebuah kilang baharu di Jepun, beritahu jurucakap Sony Takashi Iida kepada AFP, namun berkata tidak ada apa-apa yang telah diputuskan lagi.
Jualan separuh tahun Sony merosot 2.1 peratus kepada 4.04 trilion yen manakala keuntungan operasi meningkat 17.3 peratus kepada 510 bilion yen.
Sony telah menghabiskan bertahun-tahun bergelut untuk berpulih daripada masalah kewangan teruk, satu proses yang membabitkan penyusunan semula agresif, kehilangan ribuan pekerjaan dan penjualan unit dan aset perniagaan. – AFP
