PARIS, 26 FEB – Gergasi automotif Stellantis, yang merangkumi jenama Fiat, Chrysler, Jeep dan Peugeot hari ini melaporkan penurunan 70 peratus dalam keuntungan pada 2024 berbanding tahun sebelumnya akibat masalah di Amerika Utara.
Kumpulan itu, yang kini sedang mencari CEO baharu, juga melaporkan penurunan 17 peratus dalam hasil jualan kepada 156.9 bilion euro (AS$164.6 bilion) yang dipersalahkan kerana ‘kekurangan sementara dalam tawaran produk’ dan promosi jualan untuk mengurangkan stok.
Keuntungan jatuh dari 18.6 bilion euro pada 2023 kepada 5.5 bilion euro pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Carlos Tavares, meletak jawatan pada Disember lalu berikutan perbezaan pendapat mengenai cara untuk menangani kejatuhan keuntungan kumpulan tersebut.

“Dalam 90 hari sejak peralihan kepimpinan bermula dan sementara proses untuk memilih CEO seterusnya dalam separuh pertama tahun 2025 diteruskan, pasukan kepimpinan sementara telah mengambil tindakan pantas dan tegas untuk meningkatkan prestasi dan keuntungan syarikat,” kata Stellantis dalam satu kenyataan yang mengumumkan keputusan tersebut.
Kenyataan tersebut menyebut tindakan yang diambil termasuk, “Memberi keutamaan kepada pelancaran kritikal untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berkembang, terutamanya di AS.” Kumpulan itu menjanjikan 10 pelancaran baharu pada 2025.
Stellantis telah melaporkan kesukaran yang semakin meningkat, termasuk pelancaran model yang tertunda akibat masalah elektrik dan penurunan jualan di Amerika Utara, pasaran utama mereka.
Kumpulan Itali-AS-Perancis mempunyai 14 jenama, termasuk Fiat, Peugeot-Citroen, Opel, Maserati, Chrysler, Ram dan Jeep. – AFP