Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keuntungan Tesla cecah AS$1 bilion

    NEW YORK, 27 JULAI – Pengeluar kereta elektrik Amerika Syarikat (AS) Tesla melaporkan keuntungan suku pertama melebihi AS$1 bilion semalam ketika ia mengulangi sasaran pengeluaran 2021 meskipun krisis rantaian bekalan.

    Penyerahan kereta elektrik yang tinggi semasa tempoh itu membenarkan syarikat Elon Musk memperoleh pendapatan berjumlah AS$1.1 bilion dalam suku itu, meningkat daripada AS$104 juta dalam tempoh setahun lalu ketika pendapatan bertambah hampir dua kali ganda kepada AS$12 bilion.

    Musk menyifatkan keuntungan sebagai ‘titik bersejarah’ sementara mengingatkan bahawa kadar pertumbuhan separuh tahun kedua ‘akan ditentukan oleh bahagian rantaian bekalan kami yang paling perlahan.’

    Selain masalah kekurangan semikonduktor yang telah membelenggu pengeluar kereta di seluruh dunia, Musk juga memetik kekurangan litium dan bahan mentah lain sebagai satu halangan.

    Musk telah menjadi pelopor dalam industri tersebut, melancarkan beberapa kenderaan elektrik di depan pemain industri tradisional lain. Namun penganalisis telah mengingatkan bahawa syarikat berdepan persaingan yang sengit daripada model baharu yang dilancarkan oleh General Motors, Volkswagen dan syarikat lain.

    Tesla mengulangi ramalan 2021, berkata: “Dalam beberapa tahun ini, kami menjangka mencapai pertumbuhan tahunan purata sebanyak 50 peratus dalam penyerahan kenderaan. Dalam sesetengah tahun, kamu mungkin mencatat pertumbuhan lebih pesat, yang dijangka berlaku pada 2021.”

    Musk berkata pada satu persidangan dengan penganalisis dan pelabur bahawa masalah semikonduktor ‘nampak seperti bertambah baik, namun adalah sukar untuk diramalkan pada masa depan.’

    Tesla berkata ia mencatat kemajuan di kilang kenderaan elektrik di Jerman dan negeri Texas, yang dijangka mengeluarkan kenderaan Model Y pada akhir tahun 2021.

    Bagaimanapun, syarikat itu menunda jadual masa untuk pelancaran program trak Semi kepada 2022, memetik sel bateri yang terhad serta isu bekalan lain. – AFP

    Kelihatan logo Tesla di luar bilik pameran di Washington, DC. Tesla melaporkan keuntungan suku pertama melebihi AS$1 bilion pada 26 Julai 2021. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda