Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keuntungan Tesla merosot 45 peratus

    NEW YORK, 24 JULAI – Tesla melaporkan penurunan besar dalam keuntungan suku kedua kelmarin disebabkan oleh kesan pemotongan harga sementara berbelanja secara agresif ke atas pemanduan autonomi dan teknologi lainnya.

    Syarikat kenderaan elektrik milik Elon Musk itu melaporkan keuntungan sebanyak AS$1.5 bilion, turun 45 peratus, berdasarkan pendapatan berjumlah AS$25.5 bilion, yang meningkat dua peratus di sebalik peningkatan dalam perniagaan penghasilan dan penyimpanan tenaga.

    Pendapatan sesaham Tesla tidak memenuhi jangkaan penganalisis, manakala hasil kenderaan melebihi jangkaan mereka.

    Keputusan itu adalah yang terkini dalam tempoh yang sukar bagi gergasi EV milik Musk ketika ia berdepan dengan tekanan persaingan yang meningkat yang mendorong beberapa siri pemotongan harga di pasaran utama.

    Awal tahun ini, Tesla memberhentikan 10 peratus daripada kakitangan globalnya, atau kira-kira 14,000 pekerja, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan perbelanjaan bagi membiayai pelaburan baharu yang besar.

    Penyusunan semula itu juga mengakibatkan perbelanjaan sekaligus sebanyak AS$622 juta suku kedua disebabkan bayaran pampasan dan kos-kos lain, kata Ketua Pegawai Kewangan, Vaibhav Taneja.

    Sementara jualan kenderaan menurun berbanding tempoh tahun lalu, ia meningkat daripada tahap suku pertama apabila ‘sentimen pengguna keseluruhan bertambah baik,’ kata Tesla dalam laporan pendapatannya. – AFP

    Kereta elektrik Tesla ditempatkan di kawasan penyimpanan di pelabuhan Zeebrugge, utara Belgium pada 21 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda