Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keupayaan Nagelsmann di Bayern akan diuji

    BERLIN, 11 OGOS – Musim baharu Bundesliga akan bermula pada Jumaat dengan pengurus baharu Bayern Munich, Julian Nagelsmann berada dalam tekanan untuk membawa pulang kejuaraan ke-10 berturut-turut buat gergasi Bavarian dalam tahun pertama mengendalikan kelab.

    Pengurus terdahulu, Hansi Flick meninggalkan kelab demi menguruskan pasukan kebangsaan dan kini pengurus muda berusia 34 tahun, Nagelsmann berdepan dengan cabaran hebat dalam karier pengurusan yang masih mentah.

    Dia membuktikan kemampuan yang menakjubkan ketika menguruskan Hoffenheim dan RB Lepzig, yang dipacunya sehingga mara ke pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara pada musim 2019/2020.

    Tetapi mengawal keegoan pemain bintang Bayern ditambah dengan keinginan kelab yang sentiasa dahagakan kemenangan akan menjadi cabaran terbesar buat Nagelsmann.

    “Jika saya tidak memenangi sesuatu di sini, saya yang bertanggungjawab,” dia memberitahu majalah kelab.

    Pengurus Bayern, Nagelsmann memantau pemain semasa sesi latihan. – AP

    Perlawanan kompetitif pertamanya adalah bertemu Borussia Moenchengladbach pada Jumaat untuk menandakan bermulanya kempen musim baharu.

    Nagelsmann masih mengejar kemenangan sulung bersama Bayern selepas mencatatkan tiga kekalahan dan sekali seri dalam empat perlawanan persahabatan pra musim.

    Terikat 2-2 di tangan Ajax selepas tewas kepada Cologne, Moenchenglabach dan Napoli, yang menang 3-0 di Munich menentang pasukan Bayern yang dibarisi pemain utama.

    Selepas menyambut hari kelahiran pada bulan lalu, Nagelsmann setahun lebih muda berbanding ketua pasukan, Manuel Neuer dan hanya tua 13 bulan berbanding penyerang bintang, Robert Lewandowski.

    Dia akan diukur dari segi trofi di raih di Bayern, di mana Flick meletakkan standard tinggi dengan memenangi treble Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman pada 2019/2020.

    Bayern menunjukkan kepercayaan mereka dengan memberikan kontrak lima tahun kepada Nagelsmann selepas dilaporkan membayar Leipzig 25 juta euro untuk mendapatkan khidmatnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda