LISBON, 14 NOV – Robot manusia yang mencuri tumpuan di Web Summit di Lisbon minggu ini masih belum merevolusikan kerja-kerja fizikal di kilang dan gudang, menurut ketua pakar robotik Amazon dalam temu bual bersama AFP.
“Ia seolah-olah teknologi dibuat hanya untuk kepentingan teknologi,” kata Tye Brady dalam temu bual pada Rabu lalu.
“Setiap kali kami memikirkan robotik, kami fikirkan; pertama, apakah masalah yang ingin kami selesaikan? Kedua, fungsi. Daripada fungsi barulah bentuk dihasilkan. Dan ia menjadi terbalik jika kita bermula dengan bentuk. Android ‘breakdance’ dari pengeluar China, Unitree, turut dipetik oleh penganjur Web Summit, Paddy Cosgrave ketika beliau mengumumkan era dominasi teknologi Barat semakin pudar, baru-baru ini.
Brady, sebaliknya, menekankan lebih satu juta robot yang sudah digunakan Amazon dalam operasi e-dagangnya.
Robot-robot ini merangkumi lengan automatik untuk memilih dan menyusun barangan, serta pengangkut beroda yang membawa muatan berat di gudang sambil mengesan dan mengelak pekerja manusia.

Jumlah robot Amazon itu dibandingkan dengan kira-kira dua juta robot industri yang digunakan di seluruh ekonomi China pada 2024 dan lebih 4.5 juta di seluruh dunia, menurut laporan Persekutuan Robotik Antarabangsa pada September.
Syarikat itu juga berbangga dengan ekosistem dan rantaian bekalan yang dibangunkannya di Massachusetts untuk membina robot di AS.
Brady berkata dunia masih berada ‘pada peringkat awal robotik, atau AI fizikal.’
Namun, ‘tidak adanya automasi 100 peratus,’ katanya sambil menjelaskan bahawa robot Amazon direka ‘untuk memberikan kegunaan dan sokongan kepada manusia’ serta ‘menghapuskan kerja remeh, membosankan dan berulang’ daripada tugas manusia.
Brady mengakui bahawa elemen bentuk robot manusia mungkin berguna, seperti pergerakan berkaki dua untuk kawasan yang tidak rata atau kemampuan menaiki tangga. – AFP
