Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Keusahawanan dan inovasi memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi muda berdepan cabaran global.
“Keusahawanan bukan sahaja mengenai memulakan perniagaan tetapi yang paling penting, ia juga tentang membentuk minda yang kreatif, kritis, berdaya tahan dan mampu mewujudkan peluang dalam dunia yang sentiasa berubah.”
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pusat Keusahawanan Inovasi, Kementerian Pendidikan, Awang Adna Shatriremie bin Haji A. Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Konvensyen Pertandingan Celik-Biz kali ke-7 bagi pelajar-pelajar sekolah rendah seluruh negara dan Pertandingan BigStart kali ke-12 pelajar-pelajar bagi sekolah menengah dan maktab seluruh negara yang berlangsung di Dewan Indah Biru, Kampung Lugu, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis diserikan lagi dengan pertandingan Pitching secara langsung daripada para peserta Pertandingan Celik-Biz dan Pertandingan BigStart serta diteruskan dengan tayangan video sepanjang pertandingan dijalankan, diikuti dengan penyampaian hadiah dan sijil-sijil kepada para pemenang pertandingan oleh Awang Aliuddin.




Bagi Pertandingan Celik-Biz ke-7, juara dimenangi oleh Kumpulan Safezone.bn dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) dengan nama produk Safezone.bn.
Tempat kedua diraih oleh Kumpulan Projek Rataie dari Sekolah Rendah Rataie dengan nama produk KantinKu.
Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Complex Creators dari Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS), Bandar Seri Begawan dengan nama produk Barunah.
Bagi Pertandingan BigStart ke-12, juara disandang oleh Kumpulan i-Alhudur dari SASHHB dengan nama produk i-Attendance.
Manakala kumpulan Yaya Tech Wizards dengan nama produk Antara Dua Alam dari Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah berjaya meraih tempat kedua dan tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Nurflies dari CHMS dengan nama produk mereka Nurana.
Pada majlis itu, Awang Aliuddin turut menyaksikan Pameran EIC daripada 10 pasukan teratas Pertandingan Celik-Biz dan 10 pasukan teratas Pertandingan BigStart.
Pertandingan pendidikan keusahawanan dan inovasi itu melibatkan penyertaan sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Swasta dan Jabatan Pengajian Islam serta Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan tahun ini menandakan penyertaan pertama bagi institusi berkenaan.
Pertandingan itu bermatlamat untuk menggalakkan para pelajar mengasah kreativiti dan daya inovasi melalui pendekatan yang pragmatik, realistik serta menanamkan elemen keusahawanan dalam merancang dan melaksanakan projek yang relevan dengan tema tahun ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan serta pemimpin-pemimpin sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU serta penaja-penaja, pihak berkepentingan dan agensi-agensi luar.
Di samping itu, pertandingan itu juga berperanan sebagai platform pembelajaran berasaskan kemahiran hidup, bagi melahirkan pelajar yang lebih berdikari, proaktif dan berdaya saing selaras dengan keperluan kemahiran abad ke-21 yang menekankan enam elemen utama 6C: Collaboration, Critical Thinking, Character, Communication, Creativity dan Citizenship.
Tema bagi Pertandingan Celik-Biz 2025 ialah Beyond the Classroom: Innovating for a Sustainable Future dengan empat kategori iaitu Innovation, Edutainment, Digitalisation Transformation dan Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0).
Manakala, bagi Pertandingan BigStart tema ialah Smart Futures: Innovation in Entrepreneurship dengan lima (5) kategori iaitu Digital Transformation for Brunei’s Future; Industrial Revolution 4.0 Technologies for Sustainable Development; Edutainment: Learning Through Play; Innovative Entrepreneurship for Social Impact; dan Arts, Culture, and Heritage Innovation.
