Keutamaan bagi warga tempatan solat berjemaah, Jumaat di masjid

KUALA LUMPUR, 7 JULAI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan keutamaan tetap diberikan kepada warga tempatan bagi menghadiri solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau.

Menurutnya pihaknya perlu meneliti pelbagai perkara sebelum memuktamadkan untuk membenarkan warganegara asing mendirikan solat jemaah di rumah ibadat itu.

“Setiap laporan dan data kami akan teliti. Sebarang kekurangan kami akan baiki dan ini akan ambil masa. Mungkin sebulan atau dua bulan.

“Apabila keadaan sudah stabil, kami akan benarkan mereka melakukan ibadat (di masjid),” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Program Cuci-Cuci Masjid Pasca Covid-19 dan penyampaian bantuan dana Tabung Musaadah Covid-19 di Desa Petaling dekat sini, hari ini.

Ketika ini kerajaan membenarkan warga tempatan untuk solat Jumaat dan berjemaah di masjid dan surau dalam skala lebih besar dengan memaksimumkan setiap ruang namun tetap menepati amalan jarakan sosial.

“Langkah seterusnya…kami mengizinkan mengikut apa yang difatwakan, untuk surau-surau biasa mengadakan solat Jumaat dengan syarat mereka minta kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pejabat mufti supaya ia boleh dipantau sebaik mungkin,” katanya. – Bernama

Sukarelawan melakukan proses penyahkuman atau disinfeksi di dalam masjid ketika Program Cuci-cuci Masjid Pasca COVID-19 dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling, Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama