NEW YORK, 9 JULAI – Bintang sensasi NBA, Kevin Durant, akan berpindah dari Phoenix Suns ke Houston Rockets dalam satu perpindahan melibatkan rekod tujuh pasukan – perpindahan terbesar dalam sejarah NBA, disahkan oleh Rockets pada Ahad.
Rockets turut mengalu-alukan kepulangan pemain tengah, Clint Capela, menerusi perjanjian ‘sign-and-trade’ dengan Atlanta Hawks, menurut kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi pasukan itu.
Turut terlibat dalam urus niaga besar-besaran ini ialah Brooklyn Nets, Golden State Warriors, Minnesota Timberwolves, dan Los Angeles Lakers.
Durant, dalam satu hantaran di X pada Ahad, mengucapkan selamat tinggal kepada peminat di Phoenix dan menyatakan keterujaannya untuk menyertai Houston, kelab kelimanya dalam karier NBA.
“Masa saya di Phoenix telah berakhir,” tulis Durant. “Setiap persinggahan sepanjang perjalanan ini telah memberikan kesan positif kepada saya. Ingatlah, terdapat dunia di sebalik tabir, dan mereka yang memastikan segalanya berjalan lancar bekerja keras demi memudahkan hidup kami sebagai pemain.

“Saya benar-benar percaya bahawa NBA adalah satu komuniti besar. Salam sayang buat Arizona. Houston, saya tidak sabar!”
Durant, pemain All-Star sebanyak 15 kali, akan mencecah usia 37 tahun pada September ini. Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA 2014 itu telah memenangi kejuaraan NBA bersama Golden State pada tahun 2017 dan 2018.
“Kevin memberi impak di kedua-dua bahagian gelanggang dan merupakan antara penjaring paling efisien dalam sejarah bola keranjang,” kata Pengurus Besar Rockets, Rafael Stone. “Kami menyukai perkembangan yang ditunjukkan pasukan musim lalu dan percaya kemahiran Kevin akan menyatu dengan baik dalam pasukan ini.”
Phoenix Suns pula memperoleh beberapa pemain sebagai ganti kepada Durant, termasuk pemain tengah muda berusia 18 tahun dari Sudan Selatan setinggi 7 kaki 2 inci (2.18m), Khaman Maluach – pilihan ke-10 dalam Draf NBA bulan Jun. Mereka turut mendapatkan pemain sayap Houston dari Kanada, Dillon Brooks, pengawal Jalen Green, pemain sayap Atlanta Daeqwon Plowden, pemain depan Minnesota Rasheer Fleming dan pengawal Golden State, Koby Brea dari Republik Dominican.
Durant sebelum ini mengesahkan pada bulan lalu bahawa beliau ‘tidak sabar’ untuk menyertai Rockets selepas laporan menyatakan beliau akan berhijrah ke Houston pada hari ketujuh perlawanan akhir NBA.
Namun, perpindahan itu hanya dapat dimuktamadkan selepas berakhirnya moratorium tahunan liga ke atas penandatanganan pemain, yang tamat pada Ahad. – AFP