NEW YORK, 21 Julai – Pemain yang menerima NBA Finals Most Valuable Player, Kevin Durant akan mengunjungi India minggu depan, menghoskan klinik bagi 5,000 kanak-kanak, menyumbangkan dua gelanggang bola keranjang kepada sebuah sekolah dan melatih pemain-pemain muda terbaik.
Durant membawa Golden State Warriors menjulang mahkota kedua mereka dalam NBA dalam tiga musim bulan lalu. Bintang penyerang berusia 28 tahun itu memenangi mahkota NBA pertamanya dalam musim pertama selepas meninggalkan Oklahoma City bagi Warriors.
“Saya merasa teruja untuk membuat kunjungan ke India bagi membantu mempromosikan sukan bola keranjang dan memenuhi prospek di NBA Academy India,” kata Durant. “Saya mahu mengunjungi India buat masa yang lama dan tidak sabar untuk merasakan budaya unik negara itu dan berkongsi pengetahuan saya bersama kanak-kanak di sana.”
Durant, yang juga membantu pasukan Olimpik AS memenangi pingat emas pada 2012 di London dan pada tahun lepas di Rio, akan membuat kunjungan ke New Delhi pada Khamis depan.
Dia akan menyumbang dua gelanggang kepada Ramjas School sebagai sebahagian dari program pengubahsuaian gelanggang badan amal, kemudian mengunjungi NBA Academy India di Noida, menjadi pemain NBA pertama yang aktif muncul di sekolah terbabit, di mana dia akan memberikan tunjuk ajar dalam menjaringkan, membuat hantaran, mengelecek dan latihan defensif.
Kemudian di akademi terbabit, Durant akan mengadakan klinik berskala besar bagi 5,000 belia, 1,000 di kemudahan itu dan 4,000 pelajar lelaki dan perempuan menerusi hubungan satelit dari beberapa lokasi-lokasi di Bengaluru, Chennai, Hyderabad dan Kolkata.
“Kami teruja untuk menghoskan 2017 Finals MVP Kevin Durant di India,” kata pengarah urusan NBA India, Yannick Colaco. “Memiliki salah seorang pemain terbaik dalam liga kami berinteraksi bersama pemain bola keranjang muda India akan berperanan sebagai satu inspirasi yang hebat kepada generasi pemain seterusnya di sini.”
Durant, NBA All-Star sebanyak lapan kali dan 2014 NBA Most Valuable Player, mencatatkan perkadaran 25.1 mata, 8.3 ‘rebound’ , 4.8 asis, 1.6 hadangan lontaran dan 1.1 ‘steal’ dalam satu perlawanan musim lalu bagi Warriors. – AFP