(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Seringkali kita mendengar apabila seseorang hendak mendirikan sembahyang, dia akan bertanya, sama ada pada dirinya sendiri ataupun dia meminta kepastian daripada orang lain mengenai petanda masuk waktu sembahyang seperti: “Adakah waktu sembahyang telah masuk ataupun belum?” ataupun “Adakah azan sudah dilaungkan?” ataupun pertanyaan seumpama keduanya. Pertanyaan seumpama ini adalah sangat bertepatan dengan salah satu syarat sah sembahyang, iaitu mengetahui masuk waktu sembahyang.
Bagaimanapun kadang kala sesetengah orang kurang menitikberatkan tuntutan ini disebabkan dia lupa bahawa ia merupakan satu tuntutan, yakni sebagai syarat sah sembahyang ataupun dalam keadaan tertentu tiada keupayaannya untuk mengetahui waktu sembahyang sudah masuk ataupun belum, ataupun disebabkan kelalaiannya semata-mata kurang menghiraukan syarat sah sembahyang ini.
Oleh itu, untuk memastikan syarat sembahyang ini dipenuhi, adalah menjadi satu keutamaan bagi setiap orang untuk mengetahui petanda masuk waktu bagi setiap sembahyang fardhu.
KEWAJIPAN MENGETAHUI MASUK WAKTU SEMBAHYANG
Disyaratkan ke atas orang yang hendak mendirikan sembahyang itu hendaklah dia terlebih dahulu mengetahui dan memastikan bahawa waktu sembahyang fardhu telah pun masuk dan tidak memadai sembahyang fardhu itu didirikannya semata-mata bertepatan pada waktunya yang telah dikhususkan.
Oleh yang demikian, seorang yang terus sahaja mendirikan sembahyang tanpa mengetahui masuk waktu, sedangkan dia berupaya untuk mengetahuinya, maka hukum sembahyang yang dikerjakannya itu adalah tidak sah, sungguhpun pada hakikatnya waktu sembahyang telah pun masuk dan sembahyang tersebut didirikan kebetulan bertepatan di dalam waktunya.

Sembahyang dalam keadaan seperti ini dihukumkan tidak sah kerana kecuaiannya untuk mengetahui (memeriksa terlebih dahulu) masuk waktu sembahyang. Perkara ini telah disebut oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah yang ertinya:
“(Dan yang keempatnya (daripada syarat-syarat sah sembahyang): Mengetahui masuk waktu (sembahyang), sama ada (pengetahuan) secara yakin ataupun zhann (sangkaan).
Maka sesiapa yang sembahyang tanpanya (mengetahui masuk waktu) tidak sah sembahyangnya itu dan sekalipun sembahyangnya itu berlaku bertepatan (berada) dalam waktu”.
TANDA-TANDA MASUK WAKTU SEMBAHYANG
Setiap sembahyang fardhu mempunyai waktunya yang tertentu dan disyaratkan bahawa setiap sembahyang fardhu tersebut hendaklah didirikan di dalam lingkungan atau batas waktunya yang telah dikhususkan itu. Perkara ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya”.
(Surah an-Nisa’: 103)
Sungguhpun ayat-ayat al-Qur’an tidak menyatakan batas dan tempoh setiap waktu sembahyang secara terperinci atau menggambarkan batas bermula dan berakhirnya waktu sembahyang tersebut dengan tanda, alamat atau ciri-ciri yang terperinci (tepat), akan tetapi dalam perkara ini, hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berperanan sebagai panduan ataupun dasar kepada penentuan waktu-waktu sembahyang yang menjelaskan sifat (ciri-ciri) setiap daripada waktu-waktu sembahyang tersebut.
PANDUAN DAN CARA MENGETAHUI MASUK WAKTU SEMBAHYANG
Antara panduan dan cara untuk mengetahui masuk waktu sembahyang sepertimana berikut:
1. Waktu Sembahyang
Secara ringkas, tanda-tanda masuknya waktu sembahyang itu adalah seperti berikut:
a. Waktu Zuhur dengan wujudnya bayang-bayang sesuatu benda setelah tergelincirnya matahari ke arah barat.
b. Waktu Asar apabila bayang-bayang sesuatu benda menjadi sama panjangnya dengan benda itu sendiri.
c. Waktu Maghrib dengan terbenamnya matahari, atau dengan nyatanya kegelapan malam dari arah Timur.
d. Waktu Isya’ dengan hilangnya cahaya merah (saki baki kesan cahaya matahari yang timbul ketika terbenam).
e. Waktu Subuh dengan terlihatnya fajar shadiq.
Seorang yang celik yang menyaksikan sendiri dan berkata: “Aku melihat fajar telah terbit” atau “Aku melihat matahari telah tergelincir” atau “Aku melihat bayang-bayang sesuatu benda itu menyamai sukatannya (benda itu) sendiri” atau “Aku melihat matahari telah terbenam atau syafaq mega merah telah hilang” dikatakan sebagai seorang yang mengetahui waktu-waktu sembahyang secara yakin.
2. Laungan Azan
Laungan azan juga merupakan salah satu panduan atau petunjuk masuk waktu sembahyang. Secara ringkas, antara syarat azan ialah hendaklah azan itu dilaungkan ketika masuk waktu sembahyang fardhu kecuali pada waktu sembahyang Subuh.
Ini kerana laungan azan adalah untuk memaklumkan atau memberitahu bahawa waktu sembahyang telahpun masuk. Menurut kesepakatan ulama adalah tidak sah dan tidak boleh azan dilaungkan sebelum waktunya kerana akan menyebabkan kekeliruan atau salah faham.
Menurut pendapat al-ashah (yang lebih shahih), azan yang dilaungkan oleh mu’azzin yang dipercayai yang arif mengenai waktu-waktu sembahyang adalah harus dijadikan sebagai petunjuk bahawa waktu sembahyang sudah masuk, sama ada bagi orang yang celik atau orang yang buta, sama ada pada ketika hari yang cerah ataupun ketika pada hari yang berawan.
Inilah juga pendapat sebagaimana yang dinukil dari nash Imam asy-Syafi‘i Rahimahullah.
Menurut al-Bandaniji Rahimahullah, mudah-mudahan pendapat ini merupakan kesepakatan (ijma‘) ulama. Ini kerana sesungguhnya mu’azzin itu pada adat kebiasaannya tidak melaungkan azan melainkan kerana masuk waktu.
Demikian juga azan yang telah dirakam atau direkod lalu disiarkan melalui radio dan televisyen yang memberi panduan kepada kaum muslimin mengenai masuk waktu sembahyang fardhu bagi sesebuah daerah atau lokasi, maka harus bagi orang yang berada di daerah atau lokasi tersebut yang mendengarkannya untuk mendirikan sembahyang berdasarkan rakaman azan tersebut.
3. Waktu-waktu dan alat-alat yang dimaklumi
Selain itu, antara panduan dan cara untuk mengetahui waktu-waktu sembahyang termasuklah juga dengan berpandukan maklumat atau jadual waktu-waktu sembahyang yang telah ditentukan dan disusun oleh ulama dan para ilmuan yang pakar dan sangat berpengalaman berdasarkan pengiraan yang tepat menggunakan peralatan seperti alat dan jam falak (astronomi).
Seandainya seseorang itu mengetahui masuk waktu sembahyang secara yakin dan dalam masa yang sama boleh menggunapakai khabar orang yang dipercayai berdasarkan pengetahuan, umpamanya azan mu’azzin yang dipercayai pada hari yang cerah, adalah harus baginya untuk memilih sama ada untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang dimilikinya sendiri (secara yakin) ataupun laungan azan mu’azzin sebagai panduan masuk waktu sembahyang. Ini kerana kedua-dua perkara ini adalah dalam peringkat pertama mengetahui masuk waktu sembahyang dan pada martabat yang sama.
SYAK WAKTU SEMBAHYANG TELAH MASUK ATAU BELUM
Seorang yang syak mengenai masuk waktu sembahyang, maka dia tidak boleh mendirikan sembahyang sehinggalah dia yakin ataupun sehingga kuat sangkaannya waktu sembahyang telahpun masuk. Setelah ada keyakinan atau sangkaan kuat bahawa waktu sembahyang telah masuk, maka diharuskan baginya untuk mendirikan sembahyang.
Disunatkan juga untuk mengakhirkan atau melewatkan sedikit mendirikan sembahyang daripada masuk waktu sembahyang akan tetapi jangan sampai luput atau berlalu waktu sembahyang. Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk menambahkan lagi tahap keyakinan mengenai masuk waktu sembahyang.
Perkara yang perlu diambil perhatian di sini adalah di zaman yang serba maju ini, telah wujud pelbagai aplikasi pada telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya yang memberikan maklumat dan panduan mengenai waktu-waktu sembahyang. Bukan hanya setakat itu, kadang kala ia juga memberikan peringatan kepada penggunanya tentang masuk waktu sembahyang, iaitu dalam bentuk laungan azan.
Sebagai langkah berhati-hati, sepertimana yang dijelaskan di atas, pengguna hendaklah membuat perbandingan dan memastikan ketepatan aplikasi yang digunakannya dan tidak menjadikannya sebagai sandaran masuk waktu sembahyang secara yakin (tepat) kerana berkemungkinan terdapat perbezaan dengan waktu sebenar masuk waktu sembahyang.