Tuesday, February 11, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kewajipan ‘mengetahui masuk waktu’ dalam syarat sah sembahyang

    Sambungan minggu lepas

    TIDAK TAHU TENTANG MASUK WAKTU SEMBAHYANG

    Seseorang yang tidak mengetahui masuk waktu sembahyang kerana halangan tertentu dan tiada cara baginya untuk mengetahui perkara ini, sekiranya dia menerima khabar daripada seorang yang dipercayai mengenai masuk waktu sembahyang, maka wajib diterima khabar tersebut dan dilarang dia berijtihad. Antaranya adalah seperti berikut:

    – Khabar daripada seorang yang dipercayai yang mengetahui akan masuk waktu sembahyang dengan pengetahuannya, iaitu seperti dia menyaksikan sendiri matahari tenggelam yang menunjukkan waktu Maghrib telah pun masuk. Bagaimanapun seorang yang bukan dianggap sebagai orang yang dipercayai, tidak boleh diambil perkhabarannya sekalipun dia seorang yang mengkhabarkan perkara yang benar.

    – Khabar daripada seorang yang dipercayai yang mendengarkan sendiri laungan azan orang yang arif akan masuknya waktu ketika cuaca cerah, lalu dia (orang yang dipercayai) mengkhabarkan pula kepada orang lain mengenai azan tersebut.

    Dalam perkara ini, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah berkata yang ertinya:

    “Ya, sekiranya dia dikhabarkan oleh seorang yang dipercayai hasil daripada penyaksian (orang yang dipercayai) ataupun dia mendengar azan seorang yang adil yang arif mengenai waktu dalam keadaan hari yang cerah, hendaklah dia (orang yang tidak tahu akan masuk waktu) menerimanya dan tidak melakukan ijtihad. Ini kerana tiada hajat (keperluan) untuk melakukan ijtihad pada ketika itu dengan adanya salah satu daripada dua perkara di atas (iaitu perkhabaran orang yang dipercayai berdasarkan penyaksiannya sendiri ataupun mendengar azan seorang yang adil).”

    Foto Canva

    – Khabar daripada seorang yang dipercayai yang diperolehinya daripada sumber kedua dan perkhabaran daripada sumber kedua itu adalah berdasarkan penyaksian orang kedua itu sendiri. Umpamanya dia berkata: “Si Polan telah mengkhabarkan kepadaku berdasarkan penyaksian si Polan sendiri bahawa fajar telah terbit”.

    Imam al-Bujairimi Rahimahullah dalam menerangkan maksud ‘menerima khabar daripada orang yang dipercayai’ tidak disempitkan semata-mata menerima atau mendapat perkhabaran sahaja, malahan jika dia boleh bertanya, maka wajib ke atasnya untuk bertanya bagi mendapatkan maklumat tentang waktu sembahyang adakah sudah masuk ataupun belum.

    Dapat difahami di sini, seorang yang tidak tahu masuk waktu sembahyang tetapi masih mempunyai peluang atau usaha untuk mengetahuinya dengan cara mencari maklumat dan bertanya kepada orang yang dipercayai, maka hendaklah dia terlebih dahulu memastikan perkara ini dan tidak terus sahaja mendirikan sembahyang.

    Sebagai kesimpulan, mengetahui masuk waktu sembahyang adalah antara syarat sah sembahyang. Seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang mesti mengetahui dan memastikan bahawa waktu telahpun masuk sebelum dia memulakan sembahyangnya.

    Sembahyang yang didirikan tanpa mengetahui atau tanpa menghiraukan syarat ini adalah tidak sah sekalipun sembahyang yang telah didirikan itu kebetulan bertepatan dalam waktu sembahyang. Bagaimanapun jika timbul syak mengenai ketepatan masuk waktu sembahyang, disunatkan untuknya mengakhirkan atau melewatkan sedikit mendirikan sembahyang akan tetapi jangan sampai luput atau berlalu waktu sembahyang tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda