KUALA LUMPUR, 29 April – Kewangan Islam memainkan peranan penting dalam membantu menampung keperluan belum dipenuhi penduduk Islam dunia bagi perkhidmatan kewangan patuh Syariah, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar.
Lebih 46 juta individu dari negara Islam memilih untuk tidak menggunakan perkhidmatan kewangan formal disebabkan oleh alasan-alasan agama, katanya.
Menyediakan akses kepada perkhidmatan kewangan adalah visi yang dikongsi bersama oleh semua negara termasuk negara-negara Islam, pada hakikatnya, akses adalah tidak seragam mahupun konsisten, kata Syed Zaid.
“Ketidakupayaan untuk mengakses produk dan perkhidmatan kewangan yang paling asas menghalang beberapa segmen penduduk sesebuah negara daripada menyertai sepenuhnya dalam pertumbuhan dan kemakmurannya.
“Ia diterjemahkan menjadi kos kepada negara kerana ketidaksamaan dari segi peluang dan kekayaan boleh menghalang pertumbuhan ekonomi daripada mencapai potensi yang optimum,” katanya dalam ucap tama beliau pada Persidangan Hab Asia Pasifik SC-Bank Dunia-IOSCO 2019, di sini, hari ini. – Bernama