KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Kewangan Islam perlu memanfaatkan tiga pemacu penting terutama tindakan iklim, rangkuman digital dan inovasi Islam bagi mencapai matlamat yang lebih tinggi untuk Malaysia, Oman dan seluruh dunia, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Beliau berkata, pendekatan strategik terhadap kewangan Islam seperti Garis Panduan Maqasid Al-Shariah SC untuk Pasaran Modal Islam Malaysia yang dikeluarkan pada 2023 serta Wawasan 2040 Oman, menunjukkan bahawa kewangan sewajarnya tidak hanya tertumpu untuk menjana keuntungan.
Mohammad Faiz menekankan bahawa tindakan untuk meningkatkan daya tahan dan penyesuaian iklim bukan lagi satu pilihan dan Malaysia telah mengorak langkah menerusi geran 2.8 juta euro (1 euro = RM4.92) daripada Dana Iklim Hijau untuk membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang diterima pada awal tahun ini.
“Selepas banjir besar melanda Malaysia pada 2021 sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion, isu ini telah menjadi keutamaan negara,” katanya dalam ucaptama pada Forum Islamic Finance News (IFN) Oman 2025 di Muscat, Oman kelmarin.
Mohammad Faiz berkata inisiatif Karbon Biru Oman menerusi 100 juta pokok bakau, dan Empangan Wadi Dayqah, yang melindungi bekalan air dan kawalan banjir bagi Muscat dan Qurayyat adalah perkara yang memberikan inspirasi.
Sementara itu, mengenai rangkuman digital, katanya teknologi kewangan Islam di Malaysia sedang berkembang maju, dengan industri bernilai AS$13 bilion (AS$1 = RM4.21) pada 2024 dan diunjurkan hampir dua kali ganda menjelang 2028. – Bernama


