BEIJING, 30 MEI – Kewangan mampan serta sinergi global memerangi COVID-19 menjadi tumpuan sesi Forum Kewangan Antarabangsa (IFF) 2021 yang membuka tirai di sini pada Sabtu.
Peserta forum menyeru supaya kerjasama multilateral diperhebat dalam kempen vaksinasi COVID-19, pemulihan ekonomi, pembangunan masa depan dan lain-lain.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam ucapannya menerusi pautan video berkata, walaupun pelbagai negara telah mencapai kemajuan dalam perjuangan melawan wabak, namum masih bergelut dengan kelembapan ekonomi.
Untuk membaiki keadaan, beliau turut menggesa dunia mengambil langkah bersepadu dalam bidang vaksin, pembangunan mampan dan pelepasan karbon.
“Jurang bekalan vaksin mesti diisi serta-merta. Kita perlu bergabung tenaga bagi memastikan penghasilan vaksin mencukupi untuk semua, khususnya negara berpendapatan rendah,” tegas Guterres.
Pengerusi IFF, Zhou Xiaochuan menyatakan, pengedaran vaksin yang tidak sama rata menyebabkan jurang imunisasi semakin melebar ketika ini. – Bernama