Wednesday, December 4, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kewujudan dasar-dasar pendidikan

    Oleh Prof Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail, Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Dr Rozaiman bin Makmun, Dr Nani Suryani binti Haji Abu Bakar, Pg Dr Hajah Siti Norainna binti Pg Haji Besar, Dr Hajah Suraya binti Haji Tarasat, Dr Siti Noor Naasirah binti S.Abdullah Teo, Hajah Suziyati binti Mohamad Ali

    SIRI 3

    SUNGGUHPUN dasar pendidikan sebelum tahun 1954 tidak pernah dikeluarkan secara rasmi dan jelas oleh pihak kerajaan, tapi ia masih boleh dikesan menerusi perlaksanaan pada ketika itu. Dalam makna yang lain sebenarnya sudah ada dasar pendidikan tetapi pihak kerajaan di bawah pentadbiran Residen British tidak mahu menyatakan secara rasmi pada ketika itu.

    Perkara ini tidak perlu dipersoalkan lantaran pentadbiran Residen mempunyai agenda yang tersirat. Mereka tidak mahu kelemahan-kelemahan yang ada pada sistem pendidikan Brunei itu khasnya Sekolah Melayu akan terdedah dan mendatangkan bantahan dalam kalangan masyarakat Brunei terutama dalam kalangan golongan elit Melayu.

    Kelemahan sistem pendidikan pada masa itu begitu menonjol iaitu ke atas pendidikan Sekolah Melayu yang hanya bertujuan bagi anak-anak Melayu Brunei setakat pandai membaca dan menulis dalam huruf rumi. Tidak ada yang diajarkan kepada kanak-kanak Melayu melainkan untuk mewarisi pekerjaan ibu bapa mereka sama ada sebagai nelayan mahupun petani. Matlamat pendidikan seperti ini sama seperti yang dilakukan lebih awal di Tanah Melayu atau Malaya.

    Oleh itu darjah paling tinggi bagi Sekolah Melayu pada ketika itu hanyalah setakat Darjah 6. Bagaimanapun oleh kerana kekurangan tenaga pengajar kebanyakan sekolah cuma mampu mengadakan setakat Darjah 5 sebagai kelas tertinggi. Lulusan daripada Sekolah Melayu hanya sesuai untuk menyandang jawatan-jawatan rendah seperti guru, kerani dan budak pejabat. Mungkin juga boleh menjadi petani atau nelayan yang celik huruf.

    Daripada matlamat ini jelas ia suatu sistem pendidikan yang menyekat peluang generasi muda Brunei untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat institut pengajian tinggi. Lantaran itu masa depan mereka untuk mendapatkan berbagai bidang ilmu dan kepakaran bagi sama-sama menyumbangkan tenaga dalam pembangunan Brunei ternyata pudar.

    Residen British selaku pentadbir pada ketika itu sedar, jika generasi muda Brunei didedahkan dengan atau diberikan pendidikan tinggi, mereka itu pula akan bakal menjadi tenaga penggerak kepada perubahan pemikiran masyarakatnya. Pada akhirnya akan wujud kebangkitan dan gerakan penentangan kepada pentadbiran British di Brunei. Penentangan yang berlaku di tanah-tanah jajahan British dipelopori oleh golongan intelek sebagaimana yang berlaku di India telah menjadi iktibar kepada mereka. Kebangkitan seperti itu jika berlaku sudah tentu akan menggugat kepentingan British di Brunei.

    Dasar pendidikan 1954

    Brunei boleh dikatakan telah memiliki dasar pendidikan secara rasmi apabila Jabatan Pelajaran mengeluarkannya pada tahun 1954. Kewujudan dasar ini ekoran dari pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddein Sa’adul Khairi Waddien melancarkan Rancangan Kemajuan Lima Tahun pertama (1953 – 1958). Oleh yang demikian salah satu kompenan penting dalam rancangan ini ialah bidang pendidikan. Perancangan untuk memajukan lapangan pendidikan pada masa itu amat diperlukan memandangkan Brunei masih kekurangan golongan terpelajar dan profesional dalam pelbagai bidang.

    Tenaga mereka benar-benar diperlukan bagi menyumbang ke arah pembangunan negara. Ekoran dari kekurangan inilah juga menjadi alasan kuat Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien untuk menolak Brunei mencapai kemerdekaan lebih awal daripada British, meskipun menerima desakan kuat daripada rakyat pada ketika itu. Pandangan baginda juga dikongsi sama oleh sebahagian rakyat Brunei sehingga dikatakan, “bagaimana hendak merdeka alif bongkok pun tidak tahu”.

    Apabila disebut merdeka, ada yang mengejak dengan mengatakan “mentega”. Selain itu terdapat tuntutan daripada orang ramai supaya Brunei mewujudkan satu sistem pendidikan yang baharu dan teratur. Masyarakat Brunei pada masa itu sudah mula menyedari bertapa perlunya memberikan pendidikan formal kepada generasi muda. Kesedaran ini begitu menyerlah selepas Perang Dunia Kedua tamat.

    Jabatan Pelajaran sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menangani hal ehwal pendidikan Brunei kemudiannya telah mengeluarkan dan menjelaskan bentuk dan sistem pendidikan yang diamalkan sejak tahun 1914 di negara ini. Penjelasan ini boleh dianggap sebagai dasar pendidikan rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan. Dasar Pendidikan 1954 menyatakan bahawa kerajaan menyediakan pendidikan percuma kepada semua anak-anak Melayu bermula dari umur enam tahun. Mereka boleh belajar sama ada di Sekolah Melayu, Inggeris atau Vokasional. Di Sekolah Melayu, mereka boleh meneruskan pelajaran sehingga Darjah 6.

    Mana-mana pelajar dari sekolah ini berhajat memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan, mereka diwajibkan menduduki peperiksaan khas calon ke sekolah tersebut. Apabila mereka berjaya memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan, mereka akan belajar sehingga Tingkatan 3. Mana-mana pelajar yang mempunyai prestasi baik dalam pelajaran di sekolah ini akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran hingga ke institusi pengajian tinggi di luar negeri.

    Sementara itu anak-anak Brunei yang berminat dalam lapangan pendidikan teknikal dan vokasional pula akan dihantar belajar ke Sekolah Pertukangan Syarikat Minyak Shell di Seria. Pada masa itu kerajaan belum menubuhkan sekolah seperti ini. Bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh anak-anak Brunei adalah kebolehan berbahasa Inggeris kerana bahasa pengantar bagi pendidikan vokasional adalah Bahasa Inggeris.

    Dasar Pendidikan 1954 ini juga menyediakan kelas-kelas membanteras buta huruf bagi orang-orang dewasa. Sekolah Misi dan Cina bergerak secara bersendirian dan ianya juga mendapat bantuan kewangan daripada pihak kerajaan. Apa yang jelas, dasar pendidikan 1954 ini hampir sama dengan apa yang telah berlaku di Tanah Melayu yang mengamalkan sistem berbagai aliran dalam pendidiknya.

    Dasar Pendidikan 1954 ini tidak hanya mendapat perhatian daripada orang ramai dan sasaran kritikan daripada parti-parti politik, malahan ia menjadi isu hangat dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Pada tahun 1962, salah seorang ahli majlis yang mewakili pihak pembangkang mengusulkan supaya kerajaan merangka dan membentuk satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur asing.

    Syor ini telah mendapat bantahan daripada wakil kerajaan kerana menganggap Brunei telah pun mempunyai dasar pendidikan tersendiri. Jika dasar ini dirombak ia akan menambah beban kerajaan. Pegawai Pelajaran yang diwakili oleh seorang pegawai British, dalam hujahnya menyanggah syor tersebut mengatakan bahawa sistem pendidikan Brunei sudah mencapai kemajuan kerana sekolah telah banyak didirikan. Pelajar juga semakin ramai yang dihantar keluar negeri untuk melanjutkan pelajaran.

    Kenyataan ini tidak boleh dinafikan sebab gambaran banyak sekolah sudah didirikan dan sudah ramai anak-anak Brunei menjejakkan kaki ke alam persekolahan memang mencerminkan sebahagian daripada kemajuan sesuatu sistem pendidikan.

    Bagaimanapun tanda aras kemajuan juga perlu diukur melalui sudah berapa ramai anak-anak Brunei yang memiliki pendidikan tinggi atau yang telah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti. Walhal pada masa itu taraf pendidikan Sekolah Melayu masih terbatas di peringkat pendidikan rendah. Akhirnya resolusi ini ditolak kerana tidak mendapat undi majoriti dalam majlis.

    Ironiknya pada tahun 1962 ini juga ke-rajaan sebenarnya telah merancang untuk mewujudkan satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang baharu. Hal ini menunjukkan pemikiran daripada ahli parti pembangkang itu mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Dasar pendidikan yang baharu perlu dibentuk kerana kerajaan bimbang terhadap pengaruh Parti Rakyat Brunei telah meresapi sebahagian rakyat Brunei ketika itu.

    Pendidikan telah menjadi isu politik dan agenda perjuangan parti ini untuk meraih sokongan orang ramai. Sudah menjadi kelaziman salah satu ciri gerakan nasionalisme, selain mendapatkan kemerdekaan dari tangan penjajah, ianya akan diikuti pula usaha untuk menghidupkan kembali warisan budaya tempatan, di antaranya ialah memartabatkan bahasa kebangsaan.

    Bahasa kebangsaan tercicir begitu sahaja dalam arus pembangunan negara selepas merdeka. Ia tidak lagi menjadi bahasa utama sebaliknya bahasa lain diutamakan. Ternyata bahasa kebangsaan telah menjadi ‘umpan alir’ dalam meraih sokongan rakyat ketika perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Jadi untuk membendung pengaruh parti ini, kerajaan memikirkan perlunya dibentuk satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang baharu bagi memenuhi kehendak rakyat.

    Selain itu perjuangan menobatkan Bahasa Melayu sebagai rasmi daripada menjadi bahasa terpinggir sedang hangat dilakukan di Tanah Melayu pada masa itu. Bahang perjuangan ini telah mempengaruhi masyarakat Brunei terutama dalam kalangan guru-guru Melayu untuk sama-sama meningkatkan kedudukan bahasa ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda