Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Sejumlah $30,000 hasil kutipan Tabung Sumbangan KFC Brunei dari semua cawangan KFC di Negara Brunei Darussalam telah diserahkan kepada enam organisasi bukan kerajaan (NGO) pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Kempen Derma Darah anjuran KFC Brunei bertempat di cawangan KFC di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).
NGO berkenaan yang masing-masing menerima sumbangan sebanyak $5,000 terdiri daripada La Vida Berhad, Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Persatuan Learning Ladders, Majlis Kesejahteraan Masyarakat, Bina Ukhwah dan Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP).
Hadir bagi menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Pengarah Urusan KFC Brunei, Dayang Siti Hamizah binti Hassan.
Majlis sumbangan dan kempen derma darah merupakan aktiviti berganda sempena 12.12 Sale.
Dalam pada itu, kempen derma darah pula merupakan antara aktiviti tahunan KFC dengan kerjasama Jerudong Park Medical Center (JPMC) yang juga berlangsung di KFC cawangan Yayasan bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Daripada 41 orang yang hadir, hanya 26 daripada mereka yang berjaya menderma darah.
Kempen ini diadakan untuk menyatakan komitmen KFC dalam memberikan sokongan kepada JPMC bagi memenuhi permintaan pesakit di hospital berkenaan untuk kegunaan pesakit yang menjalani rawatan.
Menurut Dayang Siti Hamizah, kempen ini akan memberikan satu impak positif yang bermakna dalam komuniti setempat.


