Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), sebuah rumah kebajikan yang memberi sokongan kepada golongan komuniti istimewa di Kampung Bengkurong telah menerima sumbangan berjumlah $3,000 daripada KFC.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan pada Majlis Sambutan Hari Raya KFC di pusat berkenaan.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh kanak-kanak dari Pusat Ehsan dan kakitangan KFC Brunei yang turut disertai oleh Ketua Pasaran KFC Brunei, Norlyn Rufo yang turut menyerahkan replika cek kepada wakil Pusat Ehsan.
Jaymee Lau dari Jabatan Pemasaran KFC berkata, “Salah satu aktiviti yang mendatangkan keceriaan buat syarikat kami adalah peluang untuk berkongsi kegembiraan, di samping menjalin kerjasama dengan badan-badan kebajikan.
“Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, kami berbesar hati untuk berkongsi kemeriahannya bersama kanak-kanak dari Pusat Ehsan dengan menyajikan juadah sedap,” tambahnya.

Katanya lagi, “Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih sekali lagi kepada para pelanggan kami di atas sumbangan ikhlas mereka terhadap usaha-usaha kebajikan kami. Sifat pemurah yang ditunjukkan oleh para pelanggan telah membolehkan kami mengutip dana dan menyumbang kembali kepada individu yang memerlukan di seluruh Brunei.”
Seramai 110 orang kanak-kanak telah dihiburkan di majlis berkenaan yang dimeriahkan dengan hidangan lazat daripada KFC, sesi permainan menyeronokkan, hiburan dan muzik termasuklah penampilan maskot parti KFC, Chicky.
Sumbangan berkenaan merupakan salah satu inisiatif kebajikan tahunan KFC Brunei di musim perayaan dengan tujuan untuk mendekati serta menyumbang kepada masyarakat.
Badan lain yang bakal menerima manfaat daripada dana itu sempena Hari Raya Aidilfitri ini termasuklah Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP), Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), Pusat Kanak-Kanak Cacat (KACA), SMARTER Brunei dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM).