Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Restoran makanan segera Pakistan diserang bertubi-tubi

    ISLAMABAD, 20 APRIL – Sekitar 160 orang telah ditahan selepas kumpulan perusuh melancarkan 20 serangan berasingan ke atas restoran KFC, dengan seorang pekerja ditembak mati, menurut kerajaan kelmarin. 

    Rangkaian makanan segera yang diasaskan di Amerika Syarikat (AS) itu menjadi sasaran protes dan seruan boikot oleh parti-parti Islamis sejak tercetusnya perang di Gaza, susulan kaitan jenama itu dengan sokongan AS terhadap Israel. 

    Orang ramai berulang kali berkumpul di luar cawangan KFC bulan ini, memecahkan tingkap, membakar premis dan mengugut kakitangan. 

    “Sebanyak 20 insiden berlaku di seluruh Pakistan dengan satu kematian dilaporkan. Mangsa merupakan pekerja KFC,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Talal Chaudhry dalam sidang media, menyifatkan KFC sebagai menjadi sasaran serangan. 

    Pekerja KFC tersebut ditembak mati di sebuah cawangan di pinggir Lahore, ibu negeri wilayah Punjab, pada Ahad. 

    Seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa motif tembakan itu masih belum jelas atau sama ada ia berkait dengan siri protes kebelakangan ini. 

    Chaudhry berkata 145 orang telah ditahan di wilayah Punjab manakala 15 lagi di ibu negara Islamabad berhubung gelombang serangan tersebut. 

    “Restoran ini mendapatkan semua sumber secara tempatan, menggaji rakyat Pakistan, dan keuntungannya kekal di dalam negara,” katanya. 

    KFC dan syarikat induknya Yum! Brands masih belum memberikan sebarang kenyataan. 

    Tahun lalu, sebuah cawangan KFC di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan dibakar semasa penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Bebaskan Palestin’. – AFP

    Gambar FreePik.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda