KFC sampaikan sumbangan berjumlah $28,000

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Sejumlah $28,000 telah disumbangkan kepada pelbagai organisasi tempatan yang memerlukan pada Majlis Penyerahan Dana Tabung Penyayang KFC 2021 yang berlangsung di KFC cawangan Delima Satu, Serusop, petang tadi.

Sumbangan berkenaan merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korpo-rat (CSR) KFC bagi meringankan bebanan mereka yang memerlukan.

Hadir bagi menyampaikan cek bernilai $4,000 setiap satu kepada tujuh buah organisasi kebajikan pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar KFC (B), TH Ooi.

Antara organisasi yang menerima cek sumbangan KFC ialah Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Persatuan Orang Kurang Pendengaran, Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), SMARTER Brunei, Projek Bina Ukhwah, Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM).

Menurut kenyataan yang diberikan, KFC Brunei akan terus membantu dan menghulurkan sumbangan kepada insan-insan yang memerlukan sebagai salah satu projek CSR mereka.

Pada masa yang sama, KFC juga menyampaikan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan terutama sekali kepada pelanggan KFC kerana terus setia menyokong mereka sehingga ke hari ini.

TH Ooi bergambar ramai bersama wakil-wakil organisasi kebajikan yang menerima sumbangan Dana Tabung Penyayang KFC 2021, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani