Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    KFC terus bantu komuniti memerlukan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Sebagai sebahagian daripada inisiatif dan sokongan berterusannya membantu komuniti yang memerlukan di negara ini, KFC Brunei telah mengadakan penyampaian sumbangan kepada dua badan bukan kerajaan (NGO), hari ini.

    Majlis penyampaian sumbangan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNAB) itu berlangsung di cawangan KFC, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara.

    Hadir menyampaikan sumbangan masing-masing bernilai $5,000 kepada Pusat Ehsan yang diwakili oleh ahli Lembaga Pemegang Amanah, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, manakala BDNAB diwakili oleh Awang Muhammad Hamzi Omar itu ialah Pengurus Sumber Manusia KFC Brunei, Anne Lembayung.

    Terdahulu, pelajar dan ahli dari dua NGO yang hadir menyaksikan majlis tersebut turut dijamu dengan menu KFC.

    Manakala, KFC Brunei kelmarin turut menyampaikan sumbangan kepada 10 buah keluarga yang kurang bernasib baik di bawah Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) di Kampong Ayer, yang mana setiap keluarga menerima sumbangan berupa barangan keperluan runcit, makanan KFC Bucket dan baucar makan.

    Ketua KFC Brunei, Dayang Siti Hamizah binti Hassan berkata “Sebagai sebuah organisasi, kami berhasrat untuk membasmi isu sosial dengan menangani puncanya, dan matlamat menyeluruh kami bagi membasmi kelaparan dan memperkasakan masyarakat yang kurang bernasib baik melalui pelbagai cara termasuk program jangkauan masyarakat.

    “Inilah sebabnya, selain inisiatif CSR seperti ini, QSR Brands, syarikat induk kami yang berpangkalan di Malaysia, sedang mengusahakan pelbagai inisiatif termasuk Biasiswa KFC untuk mahasiswa yang kurang bernasib baik dan Kempen Sehati bagi menyokong persekolahan lebih 1,400 kanak-kanak dari latar belakang yang mencabar,” katanya.

    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Anne Lembayung menyampaikan sumbangan dari KFC Brunei kepada wakil Pusat Ehsan, Pengiran Sarimah. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda