Tidak akan berdiam diri, penyanyi Khai Bahar bakal mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pihak yang bercakap buruk terhadap diri dan keluarganya.
Ia susulan penyebaran gambar dia bersama adik iparnya yang menimbulkan pelbagai reaksi ramai termasuk menuduhnya sebagai seorang yang menyukai sesama jenis.
Kata Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, dia sudah mengenal pasti beberapa komen yang turut melibatkan ahli keluarganya.
“Bila dah melibatkan rumah tangga keluarga, aku tidak akan diam. Adik aku dah bahagia dengan suami dia. Habis terkesan emosi orang.
“Jadi apa-apa dekat family adik, aku tak diam! Aku cari korang. Tak payah sembunyi. Aku dah screenshot siapa yang mulakan. Saman tetap saman,” katanya.
Khai menulis perkara tersebut di laman Instagram miliknya malam kelmarin.
Dalam satu hantaran lain, penyanyi ini juga meluahkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku sehingga membuatkan dia hilang kawalan dan lantang bersuara mengenainya.
“Aku bersuara bukan sebab nak perhatian sesiapa. Aku sedih sebab tak kuat. Dulu bila orang cakap macam-macam fasal aku, ada tempat mengadu dekat mak. Sekarang tak tahu nak mengadu dekat siapa.
“Sama macam orang lain, aku ada buat silap, tetapi jangan sampai nak fitnah aku dengan adik ipar. Aku masih ada iman cuba untuk kuat. Aku sampai tahap tak ada arah tuju,” ujarnya.
Dalam masa sama dia juga meminta mana-mana pihak untuk terus menghubunginya jika ada sebarang persoalan sebelum menyebarkan berita tidak benar.
Malah Khai juga berharap tidak ada lagi yang terus bercakap buruk tentang dirinya termasuk kisah silam.
“Jagalah aib masing-masing. Kalau ada rasa tak puas hati, boleh direct messege. Tak payah cakap terbuka perkara yang tidak ada.
“Aku dah cuba untuk jadi terbaik untuk orang yang aku sayang terutama keluarga. Cukup-cukuplah tentang zaman dulu. Nak aku mati dulu ke baru nak diam fasal aku?” luahnya. – Agensi
