Mencipta satu lagi sejarah dalam karier seninya, penyanyi Khai Bahar tampil mewakili Malaysia di acara berprestij 13th ABU TV Song Festival 2024 yang berlangsung di Pameran Antarabangsa Luthfi Kirdar, Istanbul, Turkiye Ahad lalu.
Meskipun sedang berdepan masalah kesihatan pada vokal, namun Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 30, meluahkan rasa syukur apabila berjaya melakukan persembahan itu dengan baik.
“Syukur Alhamdullilah peluang yang sangat berharga dipilih mewakili Malaysia. Walaupun kesihatan suara saya tidak optimum namun saya sangat bersyukur segalanya lancar dan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada mStar.
Menerusi acara tersebut, Khai mempersembahkan lagu nyanyiannya berjudul Bayang secara langsung di Auditorium Anadolu.
Difahamkan, pemilihan Khai dibuat oleh pihak penerbitan Hiburan TV RTM sebagai badan mewakili ABU.
Dalam pada itu, Khai menyifatkan pengalaman menyanyi sepentas dengan artis dari 11 buah negara lain sebagai kenangan bermakna.
“Satu pengalaman baru dan kenangan manis apabila sepentas dengan 11 negara kesemuanya. Terima kasih RTM atas kepercayaan yang diberikan,” ujarnya.
ABU TV Song Festival dianjurkan pada tahun 2012 dan menjadi sebuah pameran persembahan tanpa pertandingan dari rantau Asia-Pasifik.
Setiap penyiar yang mengambil bahagian perlu memilih artis untuk dari negara masing-masing, untuk mempersembahkan karya mereka dalam acara berkenaan.
Selain Malaysia, 10 negara turut terbabit pada penganjuran kali ini iaitu China, Indonesia, Hong Kong, India, Jepun, Macau, Korea Selatan, Turkiye, Turkmenistan dan Uzbekistan. – Agensi