Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Khai Bahar maafkan pemfitnah tuduh berseronok ketika arwah ibu sakit

    Walaupun berat tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, penyanyi Malaysia, Khai Bahar memilih memaafkan individu yang memfitnahnya berseronok dengan rakan-rakan ketika Allahyarham ibunya sakit sebelum ini.

    Memetik laporan mStar, Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 30, berkata, beliau tidak mahu memanjangkan isu berkenaan selain merasakan ia jalan terbaik memperbaiki diri sendiri.

    “Saya maafkan orang yang buat cerita itu. Kalau betul saya iyakan tapi bila ada pertikaikan dan cakap saya keluar bercuti dengan orang golongan tertentu, kenapa tak muat naik gambar sekali?

    “Ada juga cakap itu teguran sebab mak tengah sakit, tapi saya di Langkawi. Saya pun tak jangka perkara ini dan begitu juga adik-beradik lain. Kami tak sempat hendak tengok mak buat kali terakhir.

    “Jadi dengan perkara ini mungkin saya dapat perbaiki salah serta silap walaupun tak tahu apa sebenarnya individu berkenaan mahukan,” katanya kepada mStar.

    Khai ditemui selepas sidang media pengumuman Top 5 Gempak Most Wanted Awards 2023 di Dadi Cinema Pavilion, Kuala Lumpur pada petang kelmarin.

    Sementara itu, Khai berkata, tuduhan seperti itu tidak sepatutnya berkata kerana beliau lebih mengenali rakan-rakan yang bercuti bersamanya pada ketika itu.

    “Perkara ini mudah sahaja, saya bercuti di Langkawi dengan empat kawan baik yang memang kami sudah kenal dari dulu. Mereka juga kawan saya di kampung, kalau pergi mana-mana memang dengan mereka.

    “Tapi bila individu ini cakap perkara tak betul itu membuatkan saya marah. Kalau hendak cakap kena ada bukti. Apa yang membuatkan saya hilang sabar kerana ia membabitkan mak saya” katanya.

    Sebelum ini, seorang pengguna TikTok menegur Khai kerana bercuti bersama rakan-rakan yang didakwa golongan lelaki songsang.

    Individu berkenaan menasihati Khai agar tidak lagi bergaul dengan mereka kerana arwah ibunya iaitu Rosnah Mohamad mahu penyanyi itu memilih jalan terbaik dalam hidup.

    Bengang rakannya itu dituduh songsang, Khai meminta netizen berkenaan berhenti mencari kesilapan dirinya dan menyebarkan fitnah tidak benar.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai keadaannya selepas pemergian ibu tercinta, Khai memberitahu beliau masih perlukan masa untuk kembalikan semula semangatnya.

    “Alhamdulillah saya makin baik sebenarnya, masih lagi sedih. Bukan tak terima tapi perlu bagi masa. Semua orang mengalami perkara ini. Saya kena ambil masa untuk dapatkan semangat. Saya masih kerja dan jalankan tugas.

    “Saya banyak duduk dengan kawan-kawan kerana mereka yang banyak bagi sokongan dan membantu. Kalau seorang diri, saya banyak berfikir,” katanya.

    Pada 3 Januari lalu, ibu Khai menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun di kediamannya di Kangar, Perlis.

    Allahyarham meninggal dunia disebabkan komplikasi pelbagai penyakit termasuk sakit buah pinggang yang dihidapinya sejak tahun lalu. – Agensi

    Khai Bahar mahu perbaiki diri sendiri. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...