Kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi cukup berbeza buat penyanyi Khai Bahar apabila tidak dapat menyambutnya bersama ibu tercinta yang meninggal dunia tahun lalu.
Khai atau Khairul Baharuddin, 31, berkata, kebiasaannya dia akan pulang ke kampung di Arau, Perlis menyambut kedatangan Ramadan namun tahun ini memilih meraikannya di Kuala Lumpur.
Jelas Khai, dia mahu mengelak daripada dibelenggu perasaan sedih jika pulang ke kampung kerana akan terkenangkan arwah ibu tersayang.
“Tahun ini saya berpuasa tanpa ibu. Saya perlu membiasakan diri dengan keadaan ini. Kemungkinan saya tidak pulang ke Perlis sebab ia akan mengundang rasa sebak.
“Saya tidak mahu Ramadan ini dipenuhi kesedihan,” katanya kepada mStar.
Khai berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media siri vertikal K-Drama Salju Di Busan yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin.
Dalam pada itu, Khai berhasrat untuk menyelami perasaan menjalani Ramadan tanpa ibu bapa di sisi dengan merancang untuk berbuka puasa di beberapa buah rumah anak yatim.
“Saya mahu merasai sendiri bagaimana perasaan anak-anak yatim menjalani Ramadan tanpa ibu bapa di sisi.
“Insya-Allah, saya akan mengadakan aktiviti amal sepanjang Ramadan ini. Saya bercadang untuk berkunjung ke beberapa rumah anak yatim, berbuka puasa bersama mereka dan memberikan duit raya.
“Saya mahu beramah mesra, memeluk mereka dan mendengar luahan hati mereka pada saat itu,” ujarnya.
Untuk rekod, ibu Khai iaitu Allahyarham Rosnah Mohamad menghembuskan nafas terakhir pada 2 Januari tahun lalu di kediamannya di Kangar, Perlis. – Agensi
