HANOI, 16 MEI – Muhammad Khairi Adib Azhar menyumbangkan pingat emas buat skuad silat Malaysia dalam aksi penuh dramatik final silat tanding kelas B Lelaki (50-55kg) pada Sukan SEA ke-31 di sini kelmarin.
Ketika Khairi Adib ketinggalan sembilan mata dengan masa pertarungan berbaki empat saat pada kedudukan 50-59, tindakan lawannya Khoirudin Mustakim melakukan sepakan di bahagian muka membawa padah kepada pesilat dari Indonesia itu. Setelah meneliti rakaman video, juri memutuskan untuk menolak 10 mata daripada Khoirudin kerana melanggar peraturan pertandingan sekali gus memberi kelebihan satu mata kepada Khairi Adib dan kedudukan 50-49 berpihak kepada pesilat Malaysia kekal sehingga tamat pertarungan.
Pencapaian pesilat Malaysia berusia 20 tahun itu sekali gus meneruskan legasi bapanya Azhar Ahmad yang pernah memenaAngi pingat emas ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001. Ditanya sama ada kemenangannya disebabkan nasib kerana lawannya dikenakan penalti 10 mata, Khairi Adib berkata perkara itu tidak timbul kerana beliau sememangnya memberi tentangan sejak permulaan hingga tamat pertarungan.
Khairi Adib berkata ibu bapanya turut berpesan sebelum berlepas ke Hanoi supaya beliau melakukan yang terbaik dan mengharumkan nama negara. – Bernama
