Tiap kali menjelang Ramadan, akaun TikTok milik pempengaruh popular dan usahawan tempatan Khairul Aming sering menjadi intaian dan ‘buku resipi digital’ dek kerana siri video segmen 30 Hari 30 Resepi yang dimulakannya sejak lapan tahun lepas.
Resipi ringkas dan mudah seperti minuman, kuih-muih, makanan tradisi dan pencuci mulut yang selalu disiarkannya pada tengah hari Ramadan itu sering melintasi ‘for your page’ di TikTok, dengan jutaan tontonan dan ratusan ribu like – rujukan pengikutnya tidak kira usia untuk menyediakan menu sama.
Bermula daripada memasak atas lantai, dengan video memasak agak suram kerana kurang pencahayaan, cef selebriti yang terkenal dengan tagline ‘hey what’s up guys’ pada setiap awal videonya itu sentiasa berusaha memperbaiki kualiti video dan cara persembahan resipinya agar lebih menarik.
Kini, video-video masakan mahu pun kandungan bagi tujuan perniagaan dihasilkannya menggunakan kaedah penyampaian menarik, penggunaan teknologi suntingan lebih baik, video berdefinisi tinggi, selain teknik penggambaran yang kreatif.
Terbaharu, beliau berkata lebih RM100,000 dibelanjakan bagi tujuan penstriman langsung dan rakaman video, termasuk bagi segmen 30 Hari 30 Resipi yang turut meliputi kos bagi kamera digital refleks lensa (DSLR), tripod, lampu untuk pencahayaan studio, tirai latar dan skrin hijau.
Ditemui Bernama pada Majlis Rumah Terbuka Shopee baru-baru ini, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu berkata beliau akan menumpukan gabungan makanan Malaysia, Asia dan barat dalam segmen yang popular sepanjang Ramadan itu. – Bernama
