Khairulnizam perlu masa kembangkan potensi – jurulatih

KUALA LUMPUR, 31 MEI – Pelayar Malaysia, Khairulnizam Mohd Affendy perlu diberikan lebih masa untuk mengembangkan potensi bagi membolehkan beliau berada di kedudukan terbaik dunia, bukannya dilemparkan dengan andaian stereotaip ‘atlet berusia perlu bersara’.

Bapa Khairulnizam, Mohd Affendy Abdullah, yang juga jurulatihnya, beranggapan pemikiran stereotaip seumpama itu dalam kalangan peminat sukan tanah air boleh ‘mematikan’ karier seseorang atlet dan ia perlu dihapuskan. Beliau berkata budaya sukan di Malaysia dan luar negara sangat berbeza kerana di luar negara kebanyakan atlet pelayaran berusia 30 tahun ke atas masih aktif bersaing di gelanggang dan bukannya disuruh untuk menamatkan karier mereka.

“Kalau kita lihat atlet luar negara, malah ada pemenang pingat emas seperti di Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 yang berumur 50-an berbanding Khairulnizam baru berusia 27 tahun.

Pengalaman membuatkan beliau berjaya. Khairulnizam masih terlalu muda dalam sukan pelayaran. – Bernama