Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Khairun Azfar juara Pertandingan Mari Bercerita

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Persembahan yang menarik ketika menyampaikan cerita bertajuk, Silat, oleh Awang Mohd Khairun Azfar bin Md Zaiful Rizan berjaya untuk menambat hati panel hakim untuk muncul juara dalam Kategori A Bahasa Melayu dalam Pertandingan Mari Bercerita Peringkat Akhir 2023 yang berlangsung di Dewan Teater PM Dato Sharifuddin, Arkib Negara, hari ini.

    Sementara itu, Dayang Asyiqah Zakirah binti Harun dengan cerita bertajuk, Believing In Yourself muncul sebagai juara dalam Kategori B Bahasa Inggeris dalam pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan yang merupakan projek tahunan DBP.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dr Awang Haji Mahali bin Haji Momin.

    Dalam kata alu-aluannya, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab menyatakan pertandingan itu dihasratkan sebagai platform yang menggalakkan generasi muda untuk minat membaca sekali gus meningkatkan kemahiran membaca kerana perlakuan membaca itu tidak hanya melibatkan pengecaman terhadap simbol yang dibaca tetapi juga melibatkan aspek kefahaman.

    Awang Suip menyampaikan kata alu-aluannya.

    Pertandingan itu, jelasnya, mengetengahkan para peserta menyampaikan cerita yang mengangkat tema, Warisan Brunei di mana cerita yang disampaikan adalah hasil daripada karya para peserta sendiri.

    “Keupayaan para peserta mengaran kemudian melakonkannya ini bukan sahaja merepresentasikan ketajamaan pemikiran mereka berimaginasi dan memahami isi cerita malah, memperlihatkan kemampuan mereka berkomunikasi dengan penguasaan penggunaan bahasa yang baik.”

    Awang Suip menyatakan bahawa dengan mengangkat tema, Warisan Brunei, cerita-cetia yang dihasilkan oleh peserta-peserta sudah pastinya memberikan inspirasi dan motivasi kepada masyarakat untuk sama-sama memelihara, melestarikan dan seterusnya memperkenalkan khazanah-khazanah negara supaya terus diwarisi.

    Dalam pertandingan itu, bagi Kategori A, Bahasa Melayu, Johan disandang oleh Awang Md Khairun Azfar dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Naib Johan ialah Awang Muhammad Aniq Asyraaf bin Awang Abdul Aziz dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba, tempat ketiga ialah Awang Muhammad Zarif Amsyar bin Mohammad Amirul Haffizan dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba dan sagu hati ialah Awang Muhammad Amjad Warid bin Mohammad Azizulfitri dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba.

    YB Dr Haji Mahali menyampaikan hadiah kepada johan Kategori A, Awang Mohd Khairun Azfar.

    Bagi Kategori B, Bahasa Inggeris, Johan disandang oleh Dayang Asyiqah Zakirah dari Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, Tutong, Naib Johan ialah Awang Syed Harith bin Syed Rozman dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, tempat ketiga ialah Dayang Zareen Haninah bintu Zul-Fakhri dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sagu hati ialah Datang Nur Thaqirah Wafiqah binti Abdullah dari Sekolah Rendah Labu Estate.

    Juara Pertandingan Mari Bercerita 2023 menerima hadiah wang tunai sebanyak $500.00, langganan majalah Mekar dan Naindung selama setahun dan hadiah sampingan daripada para penaja. 

    Naib Juara menerima hadiah wang tunai sebanyak $400.00, langganan majalah Mekar dan Naindung selama setahun dan hadiah sampingan daripada para penaja. Tempat Ketiga menerima hadiah wang tunai sebanyak $300.00, langganan majalah Mekar dan Naindung selama setahun dan hadiah sampingan daripada para penaja.

    YB Dr Haji Mahali bergambar-ramai dengan para pemenang Kategori A pertandingan berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...