PUTRAJAYA, 24 OKT – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia ke-73 (WPRCM) di Manila, Filipina yang berlangsung dua hari bermula esok.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kehadiran Khairy ke mesyuarat itu juga sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kenyataan itu menyebut penyertaan Malaysia ke WPRCM ke-73 amat penting bagi memastikan isu-isu kesihatan negara dapat diketengahkan dan diambil perhatian supaya kepentingan Malaysia terjamin.
“Selain itu, sebagai Naib Pengerusi, Malaysia boleh menggunakan platform berkenaan untuk mengadakan konsultasi dan perbincangan lanjut bersama ahli Lembaga Eksekutif WHO yang lain demi kepentingan bersama dalam sektor kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, WPRCM ke-73 akan membincangkan isu dan resolusi dipersetujui pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 yang berlangsung dari 22 hingga 30 Mei lepas, selain membincangkan cadangan agenda bagi Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-152 yang akan diadakan pada Januari 2023.
Antara perkara berbangkit yang bakal dibincangkan semasa WPRCM ke-73 termasuk penjagaan kesihatan primer, pasca-COVID-19, kesihatan mental, laporan kemajuan program teknikal serta usaha koordinasi dan kepimpinan.
WHO Rantau Pasifik Barat terdiri daripada gabungan 37 negara maju dan sedang membangun seperti Australia, New Zealand, Singapura, Jepun, Brunei, Kemboja, China, Malaysia dan Filipina dengan sekretariat utama bagi rantau ini adalah Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat bertempat di Manila, Filipina. – Bernama