Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khaleda Zia pulang, bantu percepat proses demokrasi negara

    DHAKA, 6 MEI – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, kembali ke Dhaka hari ini selepas empat bulan menjalani rawatan perubatan di London, sekali gus menambah lagi tekanan ke atas kerajaan sementara pimpinan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus, untuk mengadakan pilihan raya kebangsaan.

    Ketibaan Zia yang uzur dengan pesawat ambulans khas yang diatur oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, disambut oleh ribuan penyokong dan pemimpin kanan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal.

    Dia diiringi dua menantunya dan kelihatan tersenyum sambil melambai dari kerusi roda.

    BNP yang kini diketuai anak sulung Zia, Tarique Rahman dari London, menuntut pilihan raya diadakan selewat-lewatnya Disember bagi mengembalikan pemerintahan demokratik selepas penggulingan Sheikh Hasina melalui kebangkitan rakyat pada Ogos tahun lalu. Zia dan Hasina, dua tokoh utama politik Bangladesh, telah silih berganti menerajui negara sejak 1991.

    Hasina yang kini hidup dalam buangan di India, sebelum ini dituduh memanipulasi pilihan raya dan menindas pembangkang sepanjang 15 tahun pemerintahannya.

    Zia pula dipenjarakan selama 17 tahun atas dua kes rasuah yang bermotifkan politik, sebelum dibebaskan dengan syarat tidak meninggalkan negara.

    Menurut Setiausaha Agung BNP, Mirza Fakhrul Islam Alamgir, kepulangan Zia menandakan detik penting untuk memulihkan proses demokrasi di Bangladesh.

    “Ia adalah saat yang menggembirakan bagi kami dan seluruh negara. Kehadirannya akan mempercepatkan laluan ke arah peralihan demokratik,” katanya. – AP

    Khaleda Zia meninggalkan lapangan terbang dengan menaiki kereta selepas tiba dari London, di Dhaka, Bangladesh, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda