Khamenei dakwa musuh Iran eksploitasi tragedi pesawat

TEHRAN, 17 JAN – Pemimpin Agung Iran hari ini mengatakan bantahan di dalam negara atas kemalangan pesawat Ukraine tidak mewakili suara rakyat Iran dan menuduh negara-negara musuh mengeksploitasinya untuk tujuan propaganda.

Menyampaikan khutbah solat Jumaat di Tehran buat kali pertama semenjak 2012, Ayatollah Ali Khamenei mengatakan penembakan jatuh pesawat itu pada 8 Januari lalu adalah tragedi pahit namun ia sepatutnya tidak membayangi pengorbanan seorang daripada komando terkenalnya, terbunuh dalam satu serangan dron AS di Baghdad. Khutbahnya disampaikan selepas bulan penuh trauma buat Iran yang mana negara itu menghampiri ambang perang dengan Amerika Syarikat sebelum secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat komersial Ukraine yang mengorbankan 176 nyawa.

“Nahas pesawat itu adalah kemalangan pahit, ia melukakan hati kita,” kata Khamenei dalam khutbahnya, diselangi laungan “Mati Amerika’ daripada jemaah masjid.

“Namun sebahagian cuba menggambarkannya dalam cara untuk melupakan pejuang agung yang syahid dan berkorban, Mejar Jeneral Qasem Soleimani, ketua sayap operasi asing Pengawal Revolusi Iran.

Khamenei mengatakan musuh Iran menggunakan tragedi pesawat itu dalam usaha memperkecil-kecilkan republik Islam itu. – AFP