Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khasiat madu untuk tampil cantik

    Terdapat pelbagai kebaikan madu dan ia telah digunakan secara meluas, sama ada dalam aspek perubatan, kesihatan makanan termasuk juga kecantikan.

    Madu mengandungi kandungan air semula jadi yang boleh membantu melembapkan kulit dan seterusnya melambatkan proses penuaan. Berikut adalah antara khasiat madu sebagai salah satu bahan dalam produk penjagaan diri.

    MADU UNTUK KULIT CANTIK

    Kandungan asid glukonik di dalam madu boleh mengekalkan awet muda pada kulit awda.

    Madu digunakan ketika rawatan muka untuk menanggalkan kulit-kulit mati turut mampu meningkatkan keanjalan, mengimbangi kulit berminyak, merangsang pengeluaran kolagen dan mengurangkan kedutan. Madu juga merupakan antioksidan yang baik dan mampu untuk mengecilkan pori.

    Awda boleh mencuba gabungan putih telur bersama madu asli untuk dijadikan pupur wajah dan gunakannya dua kali seminggu.

    Madu telah digunakan berkurun-kurun lamanya termasuk berkaitan kecantikan. – Envato
    Gambar Envato

    MADU UNTUK RAMBUT CANTIK

    Madu turut digunakan secara turun-temurun sebagai pelembap rambut semula jadi. Ia turut mampu menjadikan rambut awda bersinar-sinar.

    Caranya mudah sahaja hanya dengan mencampurkan satu sudu madu asli, sider epal dengan air suam dan bilas rambut awda dengan campuran tersebut setelah mencuci rambut.

    Biarkan selama satu jam dan bilas dengan lembut. Lakukan seminggu sekali untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

    MADU BANTU CANTIK DARI DALAM

    Madu juga membantu awda untuk menjadi lebih sihat serta turut digunakan sebagai penawar penyakit.

    Madu dikatakan boleh merawat penyakit diabetes dan menghalang osteoporosis.

    Ia turut melambatkan menopaus, merawat penyakit rabun jauh, membantu penghadaman dan mengubati cirit birit.

    Bagi awda yang mahu menurunkan berat badan, ambillah madu sekali atau dua kali sehari kerana ia mampu mengurangkan berat badan dan kolesterol.

    Tetapi, gunakan sudu plastik ketika mengambilnya kerana sudu besi dikatakan akan menghilangkan khasiatnya.

    HATI-HATI DENGAN MADU TIRUAN

    Madu yang berkhasiat hanyalah madu yang asli. Awda perlu tahu membezakan di antara madu palsu dan madu yang asli.

    Caranya mudah sahaja, masukkan sedikit madu ke dalam peti beku dan sekiranya madu itu tidak membeku, ia adalah madu asli.

    Awda tidak perlu risau untuk membiarkan madu di atas meja makan kerana sekiranya ia asli, semut tidak akan tertarik padanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda