Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Bersempena dengan Minggu Penyusuan Sedunia (WBW), Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah mengadakan Forum ‘Empower Parents, Enable Breastfreeding’ di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.
Forum bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai penyusuan ibu terutamanya kepada pasangan suami isteri yang baharu menimang cahaya mata itu dimuatkan dengan aktiviti-aktiviti menarik antaranya perbincangan berkumpulan bagi menyelami pengalaman penyusuan susu ibu, cabaran-cabaran yang dihadapi serta langkah-langkah mengatasi permasalahan yang mereka tempuhi dalam kehidupan sehari-hari khususnya dalam penyusuan anak damit.
Menurut Konsultan Obstetrisian dan Ginekologi JPMC, Dr Siti Khadijah binti Ismail, susu ibu merupakan sumber utama makanan terbaik bagi anak damit kerana ia mengandungi vitamin dan mineral semula jadi.
Beliau menekankan bahawa tumbesaran kanak-kanak sangat bergantung kepada pengambilan harian susu ibu yang membolehkan sistem imun mereka lebih kuat dan mewujudkan pertumbuhan yang sihat.
Susu ibu mengandungi microbiomes dan milk fat globulin membrane (MFGM) yang sememangnya boleh membantu anak damit melawan virus dan bakteria, menurunkan risiko mengalami alergi dan jangkitan dan secara tidak langsung dapat mewujudkan kesan positif terhadap kesihatan kognitif anak damit.
Di samping itu, ia juga mampu mewujudkan ikatan lebih erat antara ibu dan anak baharu dilahirkan secara semula jadi.
Forum turut menampilkan demonstrasi urutan anak damit bagi merangsang sistem peredaran dan pencernaan, hormon dan kekebalan tubuh, penyelarasan keseimbangan dan tumpuan pertumbuhan otot anak damit.
Minggu Penyusuan Sedunia (WBW) merupakan kempen global yang diselaraskan oleh World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) bertujuan untuk mengetengahkan kesedaran orang ramai mengenai penyusuan susu ibu dan isu-isu yang berkaitan dengannya.
