Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khasiat tomato untuk kulit wajah

    Tomato adalah bahan penting yang perlu ada terutama sekali di dapur, ia telah terbukti sebagai penambah rasa yang lazat dan penting dalam pelbagai hidangan masakan. Walau bagaimanapun, adakah awda tahu selain ia bermanfaat di dapur, ia juga mempunyai kebaikan dan khasiat dalam penjagaan kulit awda?

    Menggunakan tomato pada kulit awda mungkin kelihatan ganjil pada mulanya, sehingga awda mengetahui sendiri rahsia yang terdapat di sebaliknya.

    Buah berair itu padat dengan vitamin dan nutrien yang sangat berfaedah untuk kulit wajah awda, dan ini akan menyebabkan awda akan menyesal kerana tidak menggunakannya sebelum ini.

    Bahagian terbaik mengenainya ialah ia sangat mudah didapati di setiap rumah dan boleh digunakan dalam hampir semua bentuk, yang menjadikannya sempurna sebagai rutin penjagaan kulit harian awda. Ia juga sesuai untuk semua jenis kulit, jadi awda tidak perlu risau tentang itu. Berikut adalah antara kebaikan tomato dan kaedah untuk menggunakannya pada kulit wajah awda:

    MENGHILANGKAN KULIT MATI

    Disebabkan persekitaran yang sangat tercemar, terutamanya jika awda tinggal di kawasan bandar, kulit awda akan menyerap banyak kotoran dan minyak setiap kali melangkah keluar. Justeru, menyebabkan kulit menjadi tidak sekata dan kotoran juga akan menyumbat pori-pori.

    Selain digunakan untuk bahan memasak, tomato juga mempunyai khasiat dan kebaikan pada rawatan kulit wajah. – Agensi
    Gambar Eh.my

    Tomato kaya dengan enzim yang menjadikannya hebat sebagai bahan pengelupasan kulit yang membantu dalam menyingkirkan sel kulit mati. Awda tidak perlu risau jika mempunyai kulit sensitif, kerana tomato lembut pada kulit.

    Awda boleh menyapukan pulpa tomato terus pada muka dan bilas selepas beberapa ketika untuk hasil terbaik.

    MENGURANGKAN MINYAK

    Jika awda mempunyai kulit berminyak atau berjerawat, tomato mempunyai manfaat yang banyak untuk kuit awda termasuk cara semula jadi untuk menghilangkannya!
    Kulit berminyak boleh menjadi perkara yang merisaukan dan menjejaskan kesihatan keseluruhan kulit awda. Malah ia juga akan menyebabkan solekan awda juga tidak kekal pada tempatnya kerana dihalang oleh kesan minyak tersebut. Jadi, dengan menggunakan tomato ia mampu melakukan kerja yang hebat untuk menentang dan mengurangkan kandungan minyak dari kulit awda.

    Caranya ialah potong tomato kepada dua bahagian, ambil sekeping dan gosokkannya dengan lembut pada muka dan bilas dengan air selepas 10-15 minit untuk mendapatkan kulit yang licin dan bebas minyak.

    MENCEGAH JERAWAT

    Jerawat adalah keadaan yang sangat biasa pada orang di seluruh peringkat umur. Ia biasanya disebabkan oleh kotoran atau bakteria yang terperangkap dalam kulit atau minyak yang tersekat di dalam liang pori-pori.

    Tomato mengandungi vitamin A, C, dan K dan juga mempunyai sifat berasid yang membantu dalam mengekalkan tahap pH yang sesuai untuk kulit awda serta mempunyai sifat pembersihan yang mendalam. Menggunakan tomato mungkin tidak mencukupi untuk menyembuhkan punca jerawat awda jika ia terlalu teruk, tetapi ia pasti membantu dalam mengurangkannya dan mencegah jerawat.

    Caranya ialah dengan mencampurkan sedikit minyak tea tree pada pulpa tomato dan sapu pada kawasan yang mempunyai jerawat.

    MENGETATKAN LIANG PORI

    Tomato berfungsi sebagai ubat semulajadi untuk mengecilkan pori-pori dan juga mengurangkan kemunculannya. Cara yang awda boleh lakukan ialah dengan menambahkan dua hingga tiga titik jus limau nipis segar ke dalam satu sudu jus tomato dan sapukan campuran itu ke muka awda. Kemudian bilas selepas 15 minit.

    MENGHIDRATKAN KULIT

    Tomato boleh membantu mengurangkan minyak dari kulit, akan tetapi ia tidak menjejaskan minyak semula jadi yang diperlukan untuk kulit awda.

    Ia mengimbangi dengan sempurna kelembapan yang diperlukan pada kulit awda, jadi jika mempunyai kulit yang agak kering, awda boleh menggunakan tomato pada muka untuk melembapkannya iaitu dengan mencampurkan jus tomato dengan gel aloe vera.

    MERAWAT UV MATAHARI

    Selaran matahari boleh menyebabkan ketidakselesaan kerana ia meninggalkan banyak kesan kemerahan pada kulit dan boleh memberikan awda ruam. Menerusi vitamin A dan C yang terdapat pada tomato, ia boleh mengurangkan kesan selaran UV matahari pada kulit awda. Di samping itu, ia juga mampu melegakan kulit awda dan menghilangkan kemerahan kulit.

    Caranya adalah dengan mencampurkan jus tomato sejuk dan sapukan di kawasan wajah yang mengalami selaran UV matahari serta biarkan ia menyejukkan kulit awda.

    MENGURANGKAN TANDA-TANDA PENUAAN

    Tomato sangat kaya dengan Vitamin B yang mengandungi ciri anti penuaan dan ia sangat membantu dalam melawan tanda-tanda penuaan serta mengembalikan keremajaan kepada kulit awda. Caranya adalah dengan mengisar tomato kemudian mencampurkannya dengan madu untuk disapukan pada muka awda. Bilas selepas 15 minit untuk mendapatkan kulit yang berseri. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda