Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khatam 49 kali rai ulang tahun BSB

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Seramai 1,074 orang peserta terlibat dalam pembacaan 49 kali khatam Al-Quran sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Kepada Bandar Seri Begawan (BSB) ke-49 bagi 2019 dengan majlis khatam berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
    Para peserta khatam terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, penuntut institusi-institusi pengajian tinggi, pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran BSB, pihak swasta, perkumpulan dan orang perseorangan.

    Perhimpunan dalam majlis khatam berkenaan bertujuan untuk sama-sama mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

    Majlis merupakan aktiviti tahunan yang diungkayahkan oleh Jabatan Bandaran BSB yang diharap akan dapat menambah nilai kepada Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei pada tahun ini.

    Inisiatif ini juga adalah bagi memperkembangkan lagi usaha berterusan untuk memperkukuhkan imej Islam Bandar Seri Begawan dengan imej yang baik dan indah, lebih-lebih lagi sesuai dengan sifatnya selaku bandar Negara Melayu Islam Beraja atau bandar Negara Zikir.

    Hadir sama pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), pengerusi Lembaga Bandaran BSB, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli Lembaga Bandaran BSB, para pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung dalam kawasan BSB.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hadir pada majlis khatam 49 kali sempena memperingati ulang tahun ke-49 Bandar Seri Begawan
    Antara peserta khatam lelaki yang menghadiri majlis khatam sempena memperingati ulang tahun ke-49 Bandar Seri Begawan itu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda