Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Majlis Khatam Al-Quran 50 Kali Khatam sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, anjuran bersama Majlis Perundingan Kampung Sungai Akar dan Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar berlangsung hari ini di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz yang juga selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas.
Ketibaan Yang Amat Mulia dialu-alukan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku penaung Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Ketua Kampung Sungai Akar, Haji Ramlee bin Mohd Zain yang juga selaku pengerusi Majlis Perundingan Kampung Sungai Akar.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran 50 Kali Khatam ini merupakan satu pesambah istimewa rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena 50 Tahun Menaiki Takhta, untuk sama-sama merafakkan doa semoga dengan berkat kepimpinan bijaksana dan kewibawaan Baginda, negara dan rakyat akan terus berkembang maju, kekal dalam keadaan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera serta hidup harmoni.


Menurut salah seorang ahli jawatankuasa, pada mulanya, jawatankuasa majlis berhasrat untuk mengumpulkan 50 orang peserta lelaki dan 50 orang peserta perempuan yang dibahagikan kepada kategori Dewasa (40 tahun ke atas), Belia (18-40 tahun) dan Kanak-Kanak (di bawah 15 tahun).
Namun penyertaan telah ditambah kepada 280 orang dan setelah melihat respons yang amat positif, yang mana lebih separuh daripada penyertaan adalah terdiri daripada golongan belia dan kanak-kanak.
Katanya, ini adalah suatu perkembangan yang amat membanggakan yang didorong oleh niat suci para peserta dan penganjur bagi meraih ganjaran pahala dan mendapatkan redha Allah Subhanahu Wata’ala selain ingin berbakti kepada raja yang disayangi melalui bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Peserta-peserta khatam terdiri daripada 138 peserta dewasa, 106 peserta belia, 36 peserta kanak-kanak.
Majlis pelancaran dan sesi-sesi pemantauan pembacaan Al-Quran bagi Majlis Khatam Al-Quran 50 Kali Khatam ini telah berjalan selama 6 bulan selepas pelancarannya pada 1 Ramadan 1438 H.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian sijil-sijil kepada para peserta khatam 50 kali dan disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara.