Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khatam Al-Quran penuntut MPUSB sesi 1994-1997

    Oleh Airwan HM

     

    SERAMAI 27 orang bekas penuntut Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) sesi pengambilan 1994-1997, baru-baru ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Bacaan dan Doa Tahlil, Doa Kesyukuran dan reunion. Majlis diadakan di rumah kediaman salah seorang bekas penuntut tersebut iaitu Haji Mohd Sanuse bin Haji Rafaie di Kampung Tanah Jambu.

    Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Haji Mohd Sanuse dan bacaan doa khatam pula dibacakan oleh Pengiran Haji Khairul Anuar bin Pengiran Haji Rahim. Majlis Khatam Al-Quran ini adalah kali kedua diadakan yang mana kali pertamanya telah diadakan pada tahun 2016. Bekas penuntut MPUSB sesi 1994-1997 telah membaca satu juz setiap seorang di sepanjang bulan Ramadan 1438 Hijrah. Pembacaan Al-Quran tersebut berjaya dilakukan dengan dua kali khatam. Tujuan acara tersebut diadakan adalah untuk melakukan kegiatan yang berkebajikan di dalam bulan Bulan Ramadan Al-Mubarak disamping meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wataala. Acara seumpana ini diharap akan menjadi kegiatan tahunan mereka.

    Di samping itu Bacaan Tahlil dan Doa Arwah juga diadakan dalam majlis yang sama bagi ahli-ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah. Bacaan dan Doa Tahlil telah diketuai oleh Pengiran Haji Khairul Anuar. Majlis juga diteruskan dengan majlis Doa Kesyukuran bersempena genapnya 20 tahun perkhidmatan mereka dengan kerajaan setelah tamat pengajian di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan pada 1 Julai 1997 di mana Doa Kesyukuran tersebut telah dibacakan oleh Awang Sofian bin Metali.

    Bekas penuntut Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) sesi pengambilan 1994-1997 semasa Majlis Khatam Al-Quran baru-baru ini.
    Bekas penuntut Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan (MPUSB) sesi pengambilan 1994-1997 semasa Majlis Khatam Al-Quran baru-baru ini.

    Majlis juga diselajurkan dengan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri dan majlis reunion buat kali ketiga di mana kali pertama ianya diadakan adalah pada tahun 2013, manakala kali keduanya ialah pada tahun 2016 yang lalu.

    Menurut salah seorang bekas penuntut tersebut Awang Irwan bin Haji Malik menyatakan bahawa walaupun majlis yang diadakan ini diraikan secara sederhana sahaja, namun ianya telah memberikan sejuta makna buat mereka kerana dapat bertemu semula setelah sekian lama tidak berjumpa di bulan Syawal ini. Beliau juga menyatakan bahawa tujuan majlis ini diadakan adalah bagi menjalinkan hubungan persahabatan dan mengeratkan ikatan silaturahim serta bertanyakan khabar dan berkongsi pengalaman sesama mereka. Mereka berharap acara seumpama ini akan dapat dikekalkan dan diteruskan pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda