Khatam Al-Quran semarak Hari Kebangsaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang juga mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan acara.

Majlis diteruskan dengan bacaan khatam Al-Quran seterusnya Doa Takhtim oleh Pegawai Penyelidikan dan Penterjemah Khusus (Bahasa Arab), Dr Haji Abdul Kadir bin Haji Mohammed manakala Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh tenaga pengajar, Haji Abdul Halim bin Mohd Fuad.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dan warga KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis sambutan ini merupakan aktiviti tahunan KKBS dalam menggalakkan penglibatan warga kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya dalam aktiviti menyemai kecintaan kepada Al-Quran dan semangat kenegaraan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Ia juga diadakan bagi merapatkan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan warga kementerian dalam mengungkayahkan dan menjayakan setiap acara yang telah dijadualkan sepanjang tahun.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama warga KKBS dan jabatan di bawahnya ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun ini.