Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Seramai 34 orang terdiri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) dan kakitangan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Kampung Bengkurong telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di surau pusat berkenaan, hari ini.
Majlis juga disusuli dengan penyampaian sumbangan kepada 13 orang anak yatim dan 47 orang kakitangan OKU pusat berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan isteri.
Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah $17,000 daripada 13 penderma terdiri daripada Kedutaan Republik Rakyat China di Brunei Darussalam dan 12 syarikat swasta di negara ini kepada Pusat Ehsan.
Sumbangan diterima oleh Pemegang Amanah Perubatan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi yang kemudian menyampaikan sijil penghargaan kepada para penderma.
Pada majlis itu, Kedutaan Republik Rakyat China menyumbangkan $5,000 yang telah disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.
Sementara itu, First Emporium and Supermarket menyumbangkan $4,038; Gedung Beli-belah Pertama menyerahkan sumbangan sebanyak $2,225; Samima Sdn Bhd, Halimons Sdn Bhd, dan Sifana Sdn Bhd masing-masing menyumbangkan $1,000; dan TSM Sdn Bhd menyampaikan $600.
Manakala itu, Orbit Supermarket Sdn Bhd; Pasar Raya TM Majeed, Kilanas; Atlanta Supermarket Sdn Bhd, Kampung Katimahar; dan Pustaka Remaja masing-masing menyumbang $500 dengan Micheal Sii Tuong Jie dan Benny Sii Tuong Kai masing-masing menyumbangkan $150.
Khatam Al-Quran adalah sebahagian daripada acara tahunan dalam takwim Islam yang dijalankan oleh Pusat Ehsan pada bulan Ramadan untuk memohon keberkatan, pahala dan keampunan daripada Allah.