Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas petang tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersempena dengan Majlis Bertadarus Tiap-tiap Malam pada Bulan Ramadan 1445H/ 2024M diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Derma kepada 10 orang anak-anak yatim di Kampung Kilanas, bertempat di masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, selaku Penaung I Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Sumber derma berkenaan adalah dari tabung khas yang dibukakan dalam Masjid Kampung Kilanas dalam jangka masa tiga bulan lamanya serta dengan kebenaran daripada pihak berkuasa.
Majlis penyampaian derma tersebut adalah bertujuan untuk memberikan bantuan berupa kewangan kepada anak-anak yatim bagi menolong untuk meringankan perbelanjaan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Sementara majlis khatam berkenaan adalah merupakan aktiviti tahunan ahli Jawatankuasa takmir masjid yang bertujuan untuk memberikan peluang dan masa bagi ahli-ahli jawatankuasa takmir, jemaah-jemaah masjid serta penduduk-penduduk Kampung Kilanas dan sekitarnya sama-sama mendekatkan diri dengan Al-Quran serta membaca Al-Quran secara berkumpulan.
Pada tahun ini penyertaan khatam terbahagi kepada lima bahagian iaitu dewasa lelaki dengan warga emas, dewasa lelaki dan belia, dewasa wanita, belia dan beliawanis masjid.
Majlis itu juga dihadiri oleh setiausaha tetap-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas dan para jemputan khas, anak-anak yatim dan penjaga mereka serta jemaah masjid, penduduk-penduduk Kampung kilanas dan sekitarnya. Orang-orang persendirian turut serta menyumbangkan derma pada majlis tersebut.



