Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 30 Mei – Badan Kebajikan Saudara-saudara Baharu Kampung Kiudang Mungkom (BASKIM), Daerah Tutong, baru-baru ini, telah menutup aktiviti Bertadarus Rumah ke Rumah dengan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di salah sebuah rumah di Kampung Kiudang.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Dakwah Daerah Tutong, Awang Alizan bin Haji Ramlee yang sekali gus memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran beramai-ramai, manakala itu, Doa Khatam dan tahlil telah dipimpin oleh Awang Muhammad Wafiuddin bin Haji Saifulbahri dan diikuti dengan laungan Dikir Marhaban.
Turut hadir menyertai majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung selaku penasihat BASKIM, ahli-ahli BASKIM dan para penduduk kampung berkenaan.
Majlis juga diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada ahli-ahli BASKIM yang menyertai aktiviti Bertadarus Rumah ke Rumah yang mana pada tahun ini sebanyak tujuh buah rumah telah dikunjungi.
Secara berasingan, Majlis Perundingan Kampung Birau dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Birau juga telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di masjid berkenaan, baru-baru ini.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim kampung tersebut serta bacaan Yasin dan tahlil sekampung yang telah dipimpin oleh Pemangku Imam Masjid Kampung Birau, Haji Julaidi bin Haji Baha.
Majlis-majlis berkenaan merupakan aktiviti tahunan bagi menyemarakkan bulan penuh kerahmatan ini, di samping mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan penduduk kampung termasuklah saudara-saudara baharu serta dapat meningkatkan dan memantapkan bacaan Al-Quran masing-masing.
