Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Seramai 612 peserta terlibat dalam pembacaan 52 kali khatam Al-Quran sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan ke-52 dengan majlis berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, ibu negara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Para peserta khatam terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, penuntut-penuntut dari institusi pengajian tinggi, pihak swasta, perkumpulan dan orang perseorangan.
Majlis dimulakan dengan bacaan khatam yang dipimpin oleh Imam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Mohd Hasnal bin Haji Mohammad. Sementara bacaan takhtim dan Doa Khatam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan yang diungkayahkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan yang berbentuk keagamaan yang diharap akan dapat menambah nilai kepada Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei pada tahun ini.
Inisiatif ini adalah juga bagi memperkembangkan lagi usaha berterusan untuk memperkukuhkan imej Islam di Bandar Seri Begawan dengan imej yang baik dan indah, lebih-lebih lagi sesuai dengan sifatnya selaku bandar Negara Melayu Islam Beraja atau bandar Negara Zikir.
Turut hadir di majlis itu ialah setiausaha tetap-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di dalamnya serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dalam kawasan Bandar Seri Begawan.