Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Walaupun ia anggota tubuh yang dilihat kecil, tetapi ia mampu memberikan kesan besar kepada kehidupan bukan sahaja pada kehidupan sendiri malah pada kehidupan orang lain.
Dalam menjalani kehidupan seharian, perlunya untuk menjaga dan memelihara lidah agar sentiasa berkata baik, beradab dan bersopan santun.
Khatib dalam Khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Menjaga Lidah’ hari ini, mengingatkan untuk menjaga lidah dari perkara yang buruk atau mungkar, seperti memelihara lidah dari berkata bohong, keji, memfitnah dan seumpamanya.
“Ramai orang yang mulia kerana lidah yang terjaga, namun tidak sedikit pula yang terjerumus dalam kehinaan kerana tidak mampu mengendalikan lidah mereka dengan baik,” katanya.
Khatib dalam khutbahnya menjelaskan, Imam Al Ghazali berkata, lidah manusia adalah benda yang lain tajam di dunia kerana melalui lidah, manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukakan perasaan saudaranya sendiri.
Dalam menjalani kehidupan seharian, tegas Khatib, kita perlu menjaga dan memelihara lidah agar sentiasa berkata baik, beradab dan bersopan santun.
Selain mengingatkan, yang mana setiap perkataan yang dilafazkan dan diucapkan akan dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak, jika lidah digunakan ke arah kebaikan, jelas Khatib, akan baiklah jadinya, tetapi jika digunakan ke arah kejahatan akan jahatlah jadinya.
Dalam khutbah tersebut, Khatib juga mengongsikan hadis Rasulullah S.A.W. di mana Baginda memberi jaminan, orang yang dapat menjaga lidahnya, ganjarannya adalah Syurga.
Agama Islam ada mengajarkan mengenai kaedah untuk memelihara lidah dari perkara yang mendatangkan dosa iaitu apabila seseorang hendak berkata-kata atau memberikan teguran, hendaklah ia berfikir terlebih dahulu.
“Jika ternyata tidak ada kesan buruk dari perkataan yang telah diucapkan, berkatalah, tetapi jika ternyata sebaliknya, diamlah.”
Dalam kehidupan ini, jelas Khatib, perlu menjaga dua hubungan iaitu Hablum Minallah dan Hablum Minannas.
Khatib seterusnya menegaskan, jangan sampai lidah yang mengeluarkan nasihat dan teguran itu menyebabkan keretakan dan kerenggangan hubungan silaturrahim, perselisihan apatah lagi menimbulkan dendam dan permusuhan.
Imam Al Gahzali ada menyebutkan dalam kitabnya tentang bahaya atau kejahatan lidah, tambah Khatib, yang antaranya bercakap pada perkara yang tidak perlu atau sia-sia, perkara maksiat, berbantah-bantah dan bertengkar dalam perkara yang tidak berfaedah dan remeh-temah yang boleh mengakibatkan perselisihan paham dan pergaduhan sesama sendiri, memaki hamun atau mengumpat, berjanji dusta atau berbohong, mengumpat dan mengadu doma sesama Islam baik dala kalangan sahabat handai, rakan setugas, jiran tetangga dan sebagainya.
Ke arah itu, Khatib dalam Khutbahnya seterusnya menyeru untuk sama-sama menggunakan lidah yang dikurniakan Allah untuk kebaikan dan bukan menggunakan ke arah permusuhan dan perpecahan, bahkan memanfaatkan untuk mendapatkan pahala dan rahmat Allah dengan berdikir, bertasbih, bertahmid dan bermacam-macam lagi amal ibadat yang boleh menyelamatkan dari api negara dan membawa ke syurga.
