Semestinya peminat filem dan pengumpul memorabilia tidak sabar kerana beberapa produk seperti koleksi bersejarah prop dan pakaian dari zaman kegemilangan Hollywood akan dilelongkan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Umum mengetahui lelongan memorabilia jarang dilakukan di Hollywood, namun Profiles in History dan Legends of Hollywood Auction menawarkan pelbagai jenis barangan dengan kualiti tersendiri.
Misalnya topi keledar yang dipakai watak jahat Darth Vader dalam siri Star Wars The Empire Strikers Back antara koleksi khazanah berharga Hollywood yang tersenarai dalam lelongan itu pada harga dianggarkan mencecah sehingga AS$250,000 (RM1.1 juta) dan AS$500,000 (RM2.1 juta).
Barangan berharga lain termasuk gaun yang dipakai Dorothy Gale menerusi filem klasik The Wizard of Oz 1939, dan yang dijangka menarik perhatian dan boleh mencecah hampir AS$1.5 juta.
Ini merupakan lelongan Icons and Legends of Hollywood yang terbesar dalam sejarah dan dianggarkan dapat meraih kira-kira AS$10 juta.

Selain itu, lelongan kali ini turut menyenaraikan kereta seperti DeLorean dari Back to the Future III dan juga moon buggy yang pernah dipandu oleh James Bond ketika di dalam watak yang dilakonkan oleh Sean Connery menerusi filem Diamonds Are Forever.
Di samping itu, ikonik kapal angkasa alien world destroyer dilancarkan ke atas White House pada Hari Kemerdekaan dianggarkan kira-kira AS$30,000.
Kapal angkasa tersebut merupakan pemusnah dunia kedua di blok itu, Gort yang merupakan robot pertama yang menghancurkan Bumi menerusi filem The Day the Earth Stood Still pada 1951.
Barangan istimewa yang lain termasuk artifak unik yang digunakan sepanjang karier legenda seni mempertahankan diri, Bruce Lee dari Hong Kong seperti double-ended punching bag yang digunakannya untuk berlatih dan kung fu gi yang dipakai Lee di dalam filem Enter the Dragon.
Malah surat hasil tulisan tangan oleh Lee untuk dirinya bertajuk My Definite Chief Aim merupakan salah satu koleksi khazanah berharga.
Menariknya, dokumen itu menceritakan matlamat peribadi Lee yang ditulis empat tahun sebelum kematiannya.
“Saya, Bruce Lee akan menjadi bintang terkenal berbayar tertinggi oriental pertama di Amerika Syarikat.
Sebagai balasan saya akan memberikan persembahan yang paling menarik dan menjanjikan kualiti yang terbaik sebagai seorang pelakon.
Bermula pada tahun 1970, saya mula mencapai kejayaan dalam bidang lakonan ini dan sejak saat itu hingga akhir tahun 1980, saya telah meraih kira-kira AS$10 juta.
Selepas itu saya akan menjalani kehidupan yang saya kehendaki dan mencapai keharmonian dalaman dan kebahagiaan,” tulisnya menerusi surat tersebut.
Disebabkan dokumen dari Bruce Lee ini merupakan memorabilia peribadi dan unik, yang terkenal dengan sikapnya yang penuh dengan misteri. Ia dijangka mencecah AS$80,000.
Acara lelongan terbesar di Hollywood ini diasaskan pada 1985 oleh Joseph Maddalena dan ia akan dijalankan secara langsung dan dalam talian minggu ini. – Agensi