Oleh Osman bin Abu Bakar
BANDAR SERI BEGAWAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di dalam titah sambutan Baginda di dalam buku Raja Melakar Sejarah/The King Who Shapes History karya Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned antara lain menjelaskan bahawa untuk menjadi bangsa yang hebat, kita perlu memiliki khazanah buku dan sekali gus mempunyai para penulis kreatif dalam pelbagai bidang kerana tanpa buku dan para penulis kreatif, tamadun boleh saja hakis dan lemah.
Baginda bertitah bahawa buku mampu untuk menjadi ‘lidah’ zaman, di mana dan bila ia ditulis, kerana itu sangat penting untuk menghasilkan buku. Titah Baginda lagi, buku adalah wadah bagi para sarjana menumpahkan isi hati dan idea, sementara kita pula sebagai pembaca mengambil manfaat daripadanya.
Bagi penulis buku berkenaan, niat untuk menulis buku ‘Raja Melakar Sejarah’ ini, sebenarnya sudah lama terpendam di lubuk hatinya. Namun ia belum tercapai sehingga beliau rasa terpanggil untuk tidak lagi bertangguh berikutan dengan semakin hampirnya detik Jubli Emas pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.
Bagi Yang Berhormat Pehin, menulis buku setebal 436 muka surat ini adalah sesuatu yang sangat mencabar kerana baginya bukan mudah untuk menulis sesuatu sejarah, lebih-lebih lagi tentang seorang raja, kepala negara, ketua kerajaan dan tokoh istimewa lagi tersendiri dari semua sudut.
Namun, bagi beliau, tidak melakukan apa-apa hanya kerana alasan ia tidak mudah, adalah satu sikap ‘rendah’ yang tidak wajar bagi kita tunduk kepadanya, sebaliknya mesti dicuba sebelum orang lain merebut peluang melakukannya.
Di dalam buku ini, Yang Berhormat Pehin memperingatkan bahawa jangan fikir, di luar sana, tidak ada hati-hati yang teringin untuk menulis tentang raja kita. Di dalam sejarah, terdapat kisah raja yang ditulis oleh orang lain (oleh bukan daripada kalangan rakyat jati sendiri) dan hasilnya didapati tidak menepati sejarah sebenar raja berkenaan, seperti yang berlaku ke atas khalifah Kerajaan ‘Abbasiyyah yang sangat masyhur, Khalifah Harun ar-Rasyid.
Di dalam penulisan mengenainya, bermacam-macam perkara dapat ditemui dikaitkan dengannya. Ada yang positif dan tidak kurang pula yang negatif. Malah yang negatif kadang-kadang lebih berpotensi untuk menutupi langsung segala kebaikan Khalifah ini. Misalnya apabila beliau itu dikaitkan dengan kisah Seribu Satu Malam, sebuah kisah khayal dan penuh dengan khurafat.
Menyentuh kembali Jubli Emas pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa setengah abad bukanlah satu jangka masa yang pendek tetapi panjang.
Di dalamnya, telah ditempuh berbagai-bagai kejadian, pengalaman dan perubahan. Ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semua itu dinamakan orang sebagai ‘asam garam kehidupan’.
Justeru, patutkah semua itu dicicirkan begitu sahaja? Yang Berhormat Pehin berpendapat tidak patut, malah perlu dirakam selaku ‘khazanah sejarah’.
Khazanah sejarah itu menurutnya sangat tinggi nilainya dan kita mesti merakamnya, kerana Allah sendiri pun telah merakam sejarah dalam KitabNya iaitu beberapa sejarah nabi-nabi dan lain-lain ada terakam di dalam Al-Quran.
Pada bab awal buku ini, Yang Berhormat Pehin merakamkan bahawa di peringkat awal pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Baginda sudah dilihat sebagai meneruskan apa-apa yang telah dirintis oleh Paduka ayahanda Baginda, terutama di bidang pentadbiran, sosioekonomi, infrastruktur, pendidikan, ugama, kesihatan dan lain-lain.
Baginda dilihat terus menangani usaha-usaha besar, memperkemas pentadbiran dan menyusun pelbagai projek atau rancangan sebagai langkah meninggikan taraf hidup rakyat.
Kepentingan Brunei
Khusus di bidang politik, Baginda mempunyai pendirian yang jelas untuk kepentingan Brunei. Dari awal lagi selaku sultan, Baginda telah menampakkan kebolehan dan kebijaksanaan Baginda dalam memimpin.
Berpunca daripada kebijaksanaan dan kecekapan Baginda itu, Negara Brunei Darussalam telah mengalami perkembangan pesat dalam masa dua dekat berkerajaan sendiri. Secara berperingkat, Brunei mula melangkah ke arah memastikan anak-anak tempatan diberikan peluang untuk mengetuai sesebuah organisasi.
Inisiatif ini Baginda laksanakan sebagai persiapan Brunei memasuki gerbang kemerdekaan penuh. Berbekalkan pengalaman bersama Baginda, Yang Berhormat Pehin turut merakamkan bahawa selaku ketua kerajaan yang sarat dengan tugas-tugas dan tanggungjawab yang perlu ditangani, Baginda adalah contoh terunggul lagi istimewa, di mana Baginda seperti saja tidak pernah kenal erti “tutup pejabat”.
Walaupun di udara dalam pesawat, bahkan di mana sahaja tempat persemayaman Baginda di luar negara, Baginda tetap membuka pejabat, jentera pentadbiran diraja tetap aktif tanpa batas waktu dan tempat.
Dalam bidang pendidikan, Baginda adalah raja yang sentiasa terbuka sambil tegas meneroka pendidikan bersifat dunia tanpa sempadan dan di bawah kepimpinan Baginda, Brunei telah dianggap berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dalam memberikan pendidikan untuk semua.
Ini membawa gambaran bahawa warga negara Brunei adalah warga yang berpendidikan, sehingga mampu menjulang negara menjadi negara Very High Human Development bersama-sama dengan negara-negara maju, seperti Jepun dan Amerika.
Memperkatakan tentang identiti atau sifat semula jadi Baginda, menurut pandangan penulis perawakan Baginda kemas dan penampilan Baginda hebat, namun tetap sahaja santun dan sopan, menjadi bukti Baginda memiliki akhlak yang mulia dan berhemah tinggi. Disamping itu Baginda juga memiliki sifat tawadhu (sifat mesra kepada semua atau tidak angkuh), suatu sifat yang terpuji di sisi Allah dan manusia.
Baginda juga adalah raja yang sentiasa berhias dengan senyuman. Kepada siapa sahaja Baginda mudah mengurniakan senyuman sehingga menjadikan Baginda amat disenangi dan diminati. Begitulah identiti sifat semula jadi Baginda.
Penulis dengan rasa rendah hati mengakui bahawa dalam mengusahakan penulisan buku ini memang ia tidak mungkin lengkap atau jauh daripada lengkap, kerana mustahil untuk mendakwanya lengkap, berdasarkan tokoh yang diperkatakan ini adalah “Tokoh Besar” yang mengatasi segala ketokohan di kalangan kita, dan mungkin saja akan terdapat di sana-sini kekurangan, tetapi yang penting bagi penulis, faktanya adalah betul-betul raja kita, Raja Brunei Darussalam yang benar-benar kita kenali, bukannya daripada khabar-khabar angin atau cerita-cerita mulut yang diputik-putik.
Hanya dengan mengharapkan hidayah dan bimbingan Allah jua, penulis dengan bertawakal telah berjaya dan dapat menyiapkan penulisan buku ini sehingga 17 bab semuanya.
Buku Raja Mellakar Sejarah/The King Who Shapes History diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan sebanyak 2,000 naskhah dalam bentuk kulit tebal dan 3,000 naskhah dalam bentuk kulit nipis.
Buku berkulit tebal dijual pada harga $30 senaskhah manakala buku kulit nipis pada harga $25 senaskhah. Potongan harga sebanyak 30 peratus diberikan kepada penuntut sehingga 30 Oktober ini.