Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Sempena memeriahkan lagi Sambutan Ilal Hijrah 1446, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat petang tadi mengadakan majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446H bertempat Dewan Serbaguna, KHEDN.

Majlis yang bertemakan ‘Hijrah dan Cabaran Umat Islam’ itu dihadiri oleh Tetamu Kehormat Majlis iaitu Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis diisikan dengan forum bertajuk ‘Hijrah dan Cabaran Umat Islam’ yang disampaikan oleh 3 ahli panel undangan iaitu Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar, Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Ustazah Siti Juhaidah binti Haji Bujang, Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Agama dan Ustaz Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Agama. Moderator pada forum tersebut adalah Ustazah Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan, Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.


Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di kalangan penghulu dan ketua kampung, Yang Mulia Setiausaha- Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

