Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEDN keluarkan garis panduan bagi tahap 5

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Dengan pelaksanaan Tahap Lima (New Normal atau Kebiasaan Baharu) bermula esok (8 Mac), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah memaklumkan garis panduan baharu bagi gerai terbuka sama ada di bawah kawalan jabatan-jabatan daerah dan jabatan-jabatan bandaran ataupun dikendalikan oleh pihak kerajaan dan swasta yang lain, premis-premis makanan seperti restoran, kafe dan medan selera, pawagam, sekolah-sekolah memandu, pengangkutan bas awam di bawah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan kafe-kafe Internet.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEDN di sini, di bawah tahap berkenaan, semua pengusaha dan premis perniagaan yang berkaitan berkenaan disarankan untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan termasuk menyediakan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis mereka dan seterusnya mencetak kod QR tersebut dalam jumlah yang mencukupi dan dilekatkan di beberapa kawasan yang sesuai seperti kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pelanggan sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis.

    Bagi memudahkan pengunjung-pengunjung yang tidak mempunyai kemudahan untuk mengimbas kod QR, boleh menyediakan buku daftar bagi mencatat butiran peribadi pengunjung.

    Kenyataan menjelaskan bahawa jumlah pengunjung yang dibenarkan untuk masuk ke dalam premis gerai terbuka, adalah dihadkan kepada 1,000 orang sahaja pada satu masa mengikut garis panduan perkumpulan ramai (mass gathering) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

    Pengurus gerai juga dikehendaki untuk mengadakan kawalan bersesuaian bagi kawasan gerai, gerai-gerai terbuka yang menyediakan perkhidmatan dine-in boleh beroperasi pada kadar kapasiti seperti biasa.

    KHEDN telah mengeluarkan garis panduan pelan de-escalation tahap kelima kebiasaan baharu bagi perkhidmatan penyajian makanan di gerai-gerai terbuka.

    Manakala itu, premis makanan boleh beroperasi pada kadar kapasiti seperti biasa dengan penyediaan makanan secara bufet adalah dibenarkan.

    Para pekerja gerai terbuka dan premis makanan yang mengendalikan dan menyediakan makanan digalakkan untuk sentiasa memakai penutup mulut dan hidung yang bersesuaian dengan tugas pengendali makanan manakala itu, peniaga yang tidak sihat dinasihatkan untuk tidak hadir berniaga.

    Pengendali sekolah memandu dan pengangkutan bas awam serta kafe-kafe Internet juga diingatkan untuk terus mengamalkan langkah-langkah pembersihan dan sanitasi ke atas premis dan kenderaan termasuk tempat duduk dan peralatan yang digunakan sepanjang masa. Langkah itu juga termasuk memastikan aliran udara atau ventilasi yang baik.

    Pihak pengurus pawagam juga dibenarkan beroperasi dengan jumlah kapasiti biasa ruang duduk pawagam berkenaan dan tidak dikenakan had umur, mereka digalakkan untuk menyediakan hand sanitizer bagi setiap pengunjung, digalakkan untuk membuat pemeriksaan suhu badan pengunjung sebelum memasuki pawagam dan mana-mana pekerja pawagam yang tidak sihat dinasihatkan untuk tidak hadir bekerja.

    Mana-mana pengusaha dan premis yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang disebutkan, boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan mereka dipohonkan untuk memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda