Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEDN laksanakan banci tahunan 2019

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan melaksanakan Banci Tahunan Majikan dan Pekerja, Gaji, Pendapatan dan Jam Bekerja bagi tahun 2019, menggunakan kaedah dalam talian melalui Brunei Reporting System (BRS).

    Sehubungan dengan itu, jabatan berkenaan dalam kenyataannya memohon kerjasama semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun di sektor swasta yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam, sama ada yang mempunyai Lesen Pekerja Asing (LPA) ataupun yang hanya menggaji tenaga kerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan (tiada pekerja asing), yang masih berkhidmat sehingga atau pada 30 Oktober 2019, supaya akan dapat memberikan dan melengkapkan maklumat-maklumat para pekerja (tempatan dan asing) termasuk majikan, pemilik, pengurus, di bawah tanggungan ke dalam borang banci yang disediakan di laman sesawang www.business.gov.bn/SitePages/OBR.aspx/SitePages/OBR.aspx.

    Walau bagaimanapun, perkhidmatan rumah tangga atau persendirian adalah dikecualikan daripada melengkapkan maklumat banci berkenaan.

    Kenyataan menjelaskan, majikan, pemilik atau pengurus bolehlah mengisi borang banci berkenaan dengan menggunakan nama pendaftaran yang diperolehi melalui pendaftaran e-Darussalam.

    Tatacara melengkapkan maklumat banci juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.business.gov.bn/SitePages/OBR.aspx/SitePages/OBR.aspx atau www.labour.gov.bn.

    Maklumat banci yang telah dilengkapkan hanya akan dapat diterima melalui dalam talian mulai 31 Oktober 2019 dan tarikh akhir penerimaan maklumat banci ialah pada 30 November 2019.

    Pihak majikan, pemilik atau pengurus disarankan dan dipohonkan untuk sebolehnya dapat melengkapkan maklumat banci entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun sendiri. Ini adalah bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat sulit banci oleh pihak ketiga yang telah diamanahkan untuk melengkapkan maklumat banci mereka.

    Resit penyata banci yang telah dikeluarkan bagi Banci Tahunan Majikan dan Pekerja 2018 adalah dimansuhkan dan tidak dapat digunakan lagi mulai 31 Oktober 2019.

    Banci Tahunan Majikan dan Pekerja, kadar gaji pendapatan dan jam-jam bekerja adalah mengikut Peruntukan Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99 di bawah Seksyen 3 (1).

    Menurut Seksyen 8 (1) dalam akta berkenaan, mana-mana majikan yang sengaja menolak atau mengabaikan untuk memberikan butir-butir atau maklumat yang diperlukan dalam masa yang dibenarkan, dengan sengaja memberi atau butir-butir atau maklumat palsu atau enggan menjawab, atau dengan sengaja memberikan jawapan palsu dalam soalan yang perlu untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau butir-butir yang dikehendaki adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda sebanyak $2,500 dan penjara enam bulan dan jika berterusan denda sebanyak $50 sehari akan dikenakan.

    Untuk mendapatkan penerangan lanjut, sila rujuk ke Kaunter Perkhidmatan Kajian dan Perangkaan, Ruang Legar Tingkat Bawah, Ibu Pejabat Jabatan Buruh, Jalan Dewan Majlis, di talian 2383006 sambungan 1104, e-mel banci.buruh@buruh.gov.bn atau layari laman sesawang http://www.labour.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda