Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS –Pasukan Bola Sepak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) mengungguli puncak kedudukan Kumpulan B selepas mengalahkan pasukan Bola Sepak Jabatan Perdana Menteri (PMO) dengan jaringan 3-1 di kejohanan Piala Keputeraan 2025 di Padang dan Belapan, Berakas, kelmarin.
Kedua pasukan menampilkan pertemuan yang menarik dengan membarisi pemain-pemain yang berpotensi tinggi sekaligus menghidupkan gema perlawanan.
Pasukan MOHA lebih awal berada di depan apabila Muhammad Hafis Haji Mahari bijak menewaskan penjaga gol PMO seawal minit ke 2 dan penyerang pantas itu tidak mensia-siakan hadiah sepakan penalti di minit ke 13 untuk kelebihan 2-0.

Serangan balas pasukan PMO yang gigih berusaha merapatkan jurang jaringan bagaimanapun barisan depan PMO kurang idea untuk membolosi gawang sekalipun mempunyai peluang di depan gawang MOHA.
Sebaliknya, penyokong pasukan KHEDN kembali berpesta dengan jaringan Mohd. Alinur Rashimy Awang Haji Jefri di minit ke 41 untuk kedudukan 3-0.
Perlawanan kembali menarik dibabak kedua apabila pasukan PMO lebih banyak mengatur serangan namun pertahanan KHEDN terlalu ampuh untuk dilepaskan.
Pasukan MOHA terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila penjaga gol, Pengiran Mohd. Hazlan Pengiran Haji Idris dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang PMO di minit ke 68.
Namun, Skuad PMO gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila hanya mampu mencipta jaringan satu jaringan menerusi Nur Yamin Haji Muhammad di minit ke 86.
Sekalipun akur dengan kekalahan 1-3, pasukan PMO akan mengiringi pasukan MOHA layak ke suku akhir sekalipun pasukan Bola Sepak Kementerian Pertahanan (MINDEF) berjaya menewaskan pasukan Kementerian Pendidikan (MOE) dengan jaringan 3-2 di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong.




